Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Muhammad Asri Awang Haji Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 3 Mei. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Wakil Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengalu-alukan ketibaan Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste, Tuan Yang Terutama Kay Rala Xanana Gusmão, dan rombongan yang mengadakan Lawatan Rasmi selama tiga hari ke Negara Brunei Darussalam (NBD).
Turut hadir bagi mengalu-alukan ketibaan Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, selaku Menteri Pengiring.
Juga berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Timor-Leste ke NBD, Tuan Yang Terutama Abel Guterres.
Majlis Sambutan Rasmi dimulakan dengan Lagu Kebangsaan kedua-dua buah negara.
Tuan Yang Terutama kemudiannya memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Tuan Yang Terutama seterusnya diperkenalkan kepada Menteri-menteri Kabinet; Timbalan-timbalan Menteri; Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Ketua-ketua Perwakilan Asing di NBD; dan Setiausaha-setiausaha Tetap daripada Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.
Sejurus selepas itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah disembahkenalkan kepada rombongan rasmi Republik Demokratik Timor-Leste.
Ini adalah merupakan Lawatan Rasmi Tuan Yang Terutama kali ketiga ke NBD, dengan Lawatan Rasmi pertama pada tahun 2014 dan lawatan seterusnya pada tahun 2017.
.jpg)