41 Perawat Islam terima Sijil Latihan Asas Kesihatan Mental




Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan





BERAKAS, Sabtu, 2 Mei. - Kementerian Kesihatan telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Latihan Asas Kesihatan Mental Bagi Perawat Islam (SKiPPA) Kementerian Kesihatan yang berlangsung di Dewan Al 'Afiah, Kementerian Kesihatan, Berakas.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Dr. Dayang Hajah Rafidah binti Haji Gharif.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat serta diteruskan dengan penyerahan Sijil-sijil Latihan Asas Kesihatan Mental kepada seramai 41 Perawat Islam (SKiPPA) Kementerian Kesihatan.


Latihan asas ini dijalankan selama 11 minggu dan telah selesai dilaksanakan pada tahun 2025. Sepanjang kursus, para peserta didedahkan kepada ilmu berkaitan Kesihatan mental dan psikologi daripada perspektif Islam dan sains perubatan. Peserta turut diberikan pendedahan kepada teknik-teknik kaunseling, pendekatan psikologi Islamik serta perbincangan mengenai rawatan holistik dan bersepadu.


Latihan turut merangkumi penggunaan teori secara praktikal melalui sesi lakonan semula 'role play'. Ia juga merupakan sebahagian usaha berterusan Kementerian Kesihatan, khususnya Unit Strategi Kesihatan Mental, Pusat Promosi Kesihatan, Perkhidmatan Psikologi, Kementerian Kesihatan dan Perkhidmatan Psikiatri, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan Jabatan Pentadbiran dan Kewangan, Kementerian Kesihatan.


Inisiatif ini adalah sejajar dengan menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai keperluan menangani isu-isu kesihatan mental secara bersepadu daripada perspektif Islam dan sains.


Latihan ini turut menyokong Pelan Tindakan Kesihatan Mental Negara Brunei Darussalam 2022 – 2025 yang khusus terkandung dalam Strategi 3 yang menekankan pengukuhan promosi kesihatan mental dan pencegahan penyakit kecelaruan mental dalam kalangan masyarakat.


Sepertimana kursus-kursus sebelumnya, kursus latihan asas kesihatan mental untuk Perantis (Perawat Islam), Kementerian Kesihatan ini juga mengekalkan pendekatan Whole of Government, di mana perlaksanaan kursus ini juga telah disokong oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) khususnya dari segi pengisian kursus yang telah diberikan oleh pegawai-pegawai dari Pusat Da'wah Islamiah.


Inisiatif ini adalah selaras dengan objektif untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesejahteraan emosi dan mental dari sudut pandangan Islam dan sains. Di samping itu, ia juga diharapkan akan dapat meningkatkan kefahaman dan literasi kesihatan mental dalam kalangan masyarakat serta mengurangkan stigma dan persepsi negatif terhadap isu-isu berkaitan kesihatan mental.


Turut hadir pada majlis berkenaan, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Kementerian Kesihatan, Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff; pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai kanan dan kakitangan Kementerian Kesihatan.


Close