Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei
GADONG, Sabtu, 2 Mei. - Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) hari ini telah mengadakan Majlis Penandatanganan Kontrak Pembekalan dan Perkhidmatan Penyewaan Kenderaan bagi kategori kereta untuk tempoh lima tahun, yang berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menandatangani bagi pihak kerajaan ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad.
Turut menandatangani bagi pihak PPDB ialah Pesuruhjaya Polis, PPDB, Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin; Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof bagi pihak Jabatan Pengangkutan Darat (JPD); Dato Paduka Haji Zailani bin Haji Ismail bagi pihak Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan Dayang Hajah Suraidah binti Haji Muhammad Daud bagi pihak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN).
Juga berangkat dan hadir sama bagi menyaksikan majlis penandatanganan tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, PPDB, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, di samping para pengarah dan Pegawai Kanan PPDB serta agensi-agensi penguatkuasaan dan keselamatan.
Majlis berkenaan menyaksikan pemeteraian perjanjian antara agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan dengan tiga buah syarikat yang dilantik sebagai pembekal dan penyedia perkhidmatan, iaitu Syarikat Samakday Sendirian Berhad yang diwakili oleh Pengarahnya, Sii Lik Hung; Carserve Company yang diwakili oleh Pengurus Besar, Thomas Ling Siu Leh; serta Inchcape Services Sendirian Berhad yang diwakili oleh Pengarahnya, Haji Ahmad Omar bin Pehin Dato Haji Hussin.
Secara keseluruhannya, 304 buah kenderaan sewaan akan dibekalkan, merangkumi pelbagai kategori iaitu sedan, kenderaan pelbagai guna (SUV), van, bas, trak ringan dan kab berganda.
Perjanjian ini turut merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Konsolidasi Fiskal (FCP) yang diterajui oleh JPM bersama Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) dalam mempertingkat kecekapan perbelanjaan kerajaan dan memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta.
Melalui pemeteraian kontrak ini, ia diharapkan dapat menyokong keperluan operasi harian agensi keselamatan dan penguatkuasaan, di samping memperkukuhkan tahap kesiapsiagaan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.
Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan pihak kerajaan dalam memastikan kemudahan dan sumber sokongan sentiasa mencukupi serta selaras dengan keperluan semasa.