Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 2 Mei. - Jabatan Perdana Menteri (JPM) petang tadi mengadakan Majlis Doa Selamat bagi meraikan seramai 32 bakal jemaah haji yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan JPM serta jabatan-jabatan di bawahnya yang akan menunaikan Fardu Haji bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi, bertempat di Bangunan JPM, di sini.
Hadir selaku tetamu-tetamu kehormat majlis ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Awang Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran.
Acara diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada bakal-bakal jemaah haji dari JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya oleh tetamu-tetamu kehormat.
Ia diakhiri dengan bacaan Doa Selamat bagi memberkati majlis untuk memohon keselamatan dalam perjalanan serta urusan menunaikan ibadah haji dipermudahkan bagi bakal-bakal jemaah haji dan mendapat haji yang mabrur.
Turut hadir, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap di JPM serta pegawai-pegawai kanan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

