Siaran Akhbar dan Foto : Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar
BERAKAS, Jumaat, 1 Mei. - Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) telah berjaya menganjurkan 'Move with SHENA 2026', sebuah inisiatif yang berfokuskan kesejahteraan, yang diadakan bersempena dengan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2026, sebagai sebahagian daripada Program Bulan Keselamatan 2026.
Acara berkenaan telah berlangsung di Taman Rekreasi Menteri Besar dan menampilkan aktiviti berjalan kaki santai, larian serta berbasikal dengan penyertaan yang memberangsangkan daripada pengurusan kanan serta pegawai-pegawai SHENA.
Acara tersebut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah SHENA.
Inisiatif 'Move with SHENA 2026' mencerminkan komitmen strategik SHENA dalam mempromosi kesihatan fizikal serta ketahanan mental. Inisiatif berkenaan adalah selaras dengan tema Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2006, iaitu 'Persekitaran Kerja Psikososial yang Baik : Landasan ke arah Pekerja yang Berkembang Maju dan Organisasi yang Teguh', yang menekankan kepentingan mewujudkan persekitaran kerja yang menyokong, inklusif dan selamat dari segi psikologi.
Program berkenaan turut menzahirkan itlizam berterusan SHENA dalam memperkukuh budaya keselamatan yang positif dengan menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta meningkatkan tahap kesejahteraan dalam kalangan warga kerja dan pihak berkepentingan.
Selain itu, ia juga menegaskan bahawa keselamatan dan kesihatan merupakan tanggungjawab bersama, yang melangkaui persekitaran tempat kerja dan merangkumi seluruh aspek kehidupan seharian.
Melalui inisiatif seumpama berkenaan, SHENA kekal komited dalam menyokong usaha-usaha kebangsaan bagi memperkukuh amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, seterusnya menyumbang ke arah persekitaran kerja yang lebih selamat, sihat dan berdaya tahan di Negara Brunei Darussalam.