Oleh : Khartini Hamir / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Hazraie Pg. Haji Nikman
TUNGKU, Khamis, 30 April. – Bengkel Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) sebagai sebahagian daripada sambutan Ulang Tahun ke-40 Universiti Teknologi Brunei (UTB) melabuh tirainya petang tadi dengan majlis penutupan bengkel tersebut bertempat di Dewan Kuliah 2, Kompleks Perpustakaan UTB, di sini.
Bengkel selama dua hari yang bertemakan 'Merapatkan Sempadan dengan STI: Membina Kerjasama Penyelidikan Antarabangsa yang Berkesan' itu menghimpunkan tetamu khas, ahli akademik, para penyelidik serta wakil industri.
Bengkel tersebut dianjurkan bersama oleh Universiti Teknologi Brunei; Sekretariat Rangkaian Universiti ASEAN (AUN); Platform Sains, Teknologi dan Inovasi Jepun-ASEAN (JASTIP); serta Rangkaian Universiti ASEAN/Jaringan Pembangunan Pendidikan Kejuruteraan Asia Tenggara (AUN/SEED-Net).
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.
Turut hadir ialah Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman; serta Timbalan Ketua Misi/Kaunselor, Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Miura Keiko, wakil bagi pihak Tuan Yang Terutama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti ucapan alu-aluan oleh Penolong Naib Canselor (Hubungan Luar dan Industri), Dr. Mohamad Saiful bin Haji Omar.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa bengkel berkenaan mencerminkan komitmen kukuh antara UTB dan rakan-rakannya dalam memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa dalam bidang sains, teknologi dan inovasi, di samping menegaskan kepentingan penyelarasan yang berkesan serta kerjasama berterusan dalam menterjemahkan penyelidikan kepada impak yang bermakna.
Seterusnya, ucapan yang disampaikan oleh Profesor Emeritus Dr. Hideaki Ohgaki dari Platform Sains, Teknologi dan Inovasi Jepun-ASEAN (JASTIP), Universiti Kyoto, yang berkongsi pandangan mengenai kerjasama serantau serta peranan STI dalam menangani cabaran global.
Setiausaha Tetap MTIC, Ir. Awang Haji Mohammad Nazri pula ketika menyampaikan ucapan penutupnya menekankan kepentingan kerjasama dan penyelarasan yang berkesan dalam memajukan sains, teknologi dan inovasi, serta menyatakan bahawa inisiatif seperti ini menyokong aspirasi negara di bawah Wawasan Brunei 2035 dan mengukuhkan kedudukan Negara Brunei Darussalam di peringkat serantau dan global dalam landskap STI.
Tetamu kehormat seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil dan tanda penghargaan kepada para fasilitator dan peserta bengkel.
Majlis turut diselajurkan dengan penyampaian cenderamata kepada tetamu kehormat daripada Naib Canselor UTB dan Universiti Kyoto.
Bengkel STI yang berlangsung dari 29 hingga 30 April 2026 di UTB ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Platform Penyelarasan STI ASEAN-Jepun, yang disokong oleh Dana Integrasi Jepun-ASEAN (JAIF).
Inisiatif ini bertujuan memperkasa generasi baharu pemimpin STI sebagai penyelaras penyelidikan, memperkukuh keupayaan institusi, serta memupuk kerjasama mampan antara ASEAN dan Jepun.
Bengkel ini menghimpunkan penyelidik awal kerjaya, pelajar pascasiswazah dan ahli akademik kanan melalui pelbagai sesi interaktif yang memfokuskan kepada penyelarasan STI, strategi kerjasama penyelidikan, reka bentuk dan pengurusan projek, serta peluang pembiayaan.
Para peserta juga meneliti amalan terbaik dan kajian kes, sekali gus memperoleh pemahaman mendalam mengenai kerjasama penyelidikan antarabangsa yang berkesan.
Bengkel STI berfungsi sebagai platform untuk memperkukuh kerjasama antara akademia, industri dan rakan antarabangsa, di samping melengkapkan peserta dengan pengetahuan serta kemahiran penting dalam bidang teknologi baharu.
Sempena sambutan Ulang Tahun Ke-40 UTB, universiti ini terus komited dalam memajukan kecemerlangan dalam pendidikan, penyelidikan dan inovasi, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara serta mengukuhkan penglibatan globalnya.