Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 30 April. - Majlis Doa Selamat bagi Bakal-Bakal Jemaah Haji Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jabatan-jabatan di bawahnya yang akan menunaikan Fardu Haji bagi Musim Haji Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi diadakan di Dewan Citra Budaya, KKBS.
Hadir bagi menyempurnakan majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pembantu Perkembangan Ugama, Pusat Pembangunan Belia (PPB), KKBS, Awang Muhammad Nabil bin Haji Roslan.
Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada bakal-bakal jemaah haji oleh tetamu kehormat, dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Pembantu Perkembangan Ugama, PPB, KKBS.
Seramai lapan orang bakal jemaah haji dari KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya akan menunaikan Fardu Haji bagi Musim Haji Tahun 1447H/2026M.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya serta bakal-bakal jemaah haji.
Majlis tersebut diadakan sebagai tanda kesyukuran dan bagi memohon keselamatan serta keberkatan untuk bakal-bakal jemaah haji warga KKBS khasnya, serta bakal-bakal jemaah haji di seluruh negara semasa pergi dan balik menunaikan ibadah haji, di samping dapat menjalani ibadah haji pada tahun ini dengan sempurna.