Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 30 April. - Istiadat Pengurniaan Pingat-pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 Tahun kali ini menyaksikan seramai 455 penerima pada istiadat yang berlangsung di Balai Singgahsana Indera Kenchana, Istana Nurul Iman, hari ini.
Berangkat mengurniakan Pingat-pingat Kehormatan Negara, selaku wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Juga berangkat, paduka-paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 115 adalah penerima lelaki, manakala 340 pula adalah penerima perempuan.
Seramai 440 penerima terdiri daripada warga Perkhidmatan Awam (PA), sementara 15 penerima lagi daripada swasta menerima Pingat Indah Kerja Baik (P.I.K.B) pada hari kedua.
Para penerima terdiri daripada 150 dari Kementerian Kesihatan, 33 dari Kementerian Pembangunan, 192 dari Kementerian Pendidikani, 41 dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, 24 dari Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan dan 15 dari swasta.
Bagi memberkati Istiadat Pengurniaan Pingat berkenaan, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar.
Juga berangkat dan hadir, Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat, Timbalan-timbalan Menteri, Pengiran-pengiran Peranakan, Pehin-pehin Manteri, Manteri-manteri Pendalaman, Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi, Duta-duta Besar, Setiausaha-setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan kerajaan, penghulu-penghulu mukim serta ketua-ketua kampung.




