Bekerjasama erat mengekalkan keamanan, memperkukuh ketahanan ekonomi




Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Mohammad Hasif Matzin, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman





BERAKAS, Selasa, 28 April. - ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam mendepani cabaran global, termasuk usaha ke arah merealisasikan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang lebih bercita-cita tinggi antara kedua-dua rantau.


Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof, selaku Penyelaras Negara bagi Hubungan Dialog ASEAN - EU, yang mempengerusikan Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN-Kesatuan Eropah (EU) Ke-25 menyifatkan perkongsian berkenaan sebagai satu pilihan strategik memandangkan tiada rantau yang mampu menangani cabaran global secara bersendirian dalam dunia hari ini.


"Hubungan kita kukuh dan membuahkan hasil yang nyata. Hari ini, kita bersetuju untuk bekerjasama dengan lebih erat bagi mengekalkan keamanan dan memperkukuh ketahanan ekonomi.


"Bagi ASEAN, terdapat minat yang jelas untuk merealisasikan FTA antara kedua-dua pihak. ASEAN percaya asas-asasnya telah pun tersedia dan tugas sekarang adalah untuk membina momentum ini untuk melangkah ke hadapan," kata Yang Berhormat dalam satu kenyataan media hari ini.


Dalam pada itu, Yang Berhormat menjelaskan, kedua-dua belah pihak turut meningkatkan kerjasama dalam bidang keselamatan bagi menangani ancaman siber dan jenayah rentas sempadan yang memberi kesan langsung kepada keselamatan rakyat serta kepercayaan terhadap institusi.


Yang Berhormat turut menyentuh mengenai kepentingan ekonomi digital dan peralihan tenaga, selain mengalu-alukan sokongan EU terhadap Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid) yang merupakan kunci kepada keselamatan tenaga serantau.


"Di teras hubungan ASEAN - EU adalah rakyat kita sendiri merangkumi para pelajar, profesional, perniagaan dan penyelidik. Justeru, kita mahu melihat lebih banyak pertukaran dan mobiliti yang membawa kedua-dua rantau ini lebih dekat bersama," ujar Yang Berhormat.


Mengulas mengenai isu geopolitik, Yang Berhormat berkata, mesyuarat turut mengadakan pertukaran pandangan secara telus mengenai hal ehwal serantau global termasuk situasi di Ukraine serta perkembangan di Timur Tengah yang melibatkan Gaza, Lubnan dan Republik Islam Iran.


Tegas Yang Berhormat lagi, dalam mendepani ketidaktentuan dunia, ASEAN dan EU berpegang kepada prinsip yang sama serta percaya kepada undang-undang antarabangsa berasaskan peraturan.


"Kini, lebih daripada sebelumnya, ASEAN dan EU mempunyai tanggungjawab untuk bertindak sebagai tunjang kestabilan dan kebolehramalan. Oleh itu, kita perlu lebih banyak bekerjasama secara inklusif bagi memupuk kepercayaan dan rasa hormat antara satu sama lain," kata Yang Berhormat.


Dalam pada itu, Yang Berhormat menjelaskan, ASEAN dan EU kini sedang membuat persiapan bagi menyambut Ulang Tahun Ke-50 hubungan antara kedua-dua rantau yang akan diraikan pada 2027


Tambah Yang Berhormat, mesyuarat kali ini telah memberikan momentum yang kukuh dan kedua-dua belah pihak optimistik terhadap pencapaian yang dapat direalisasikan melalui kerjasama yang dibuat.

Close