Doa Selamat bagi 17 pegawai, kakitangan MOFE




Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 28 April. - Seramai 17 pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) akan menunaikan ibadah haji bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi.


Sehubungan itu, Majlis Doa Selamat Bakal-bakal Jemaah Haji telah diadakan pagi tadi di Dewan Teater, kementerian berkenaan di Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.


Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Setiausaha-setiausaha Tetap dan Pemangku Setiausaha-setiausaha Tetap, Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, serta pegawai dan kakitangan kementerian termasuk dari BDCB.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Setiausaha Lembaga Tawaran Negara (LTN), Dayang Nurul Izzah binti Haji Abdul Kahar, selaku Pengerusi Majlis.


Seterusnya, majlis disusuli dengan Ceramah Khas bertajuk 'Lambaian Baitullah' yang disampaikan oleh Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahhuddin.


Majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan derma kepada bakal jemaah haji yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan, yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.


Majlis keagamaan seumpama berkenaan merupakan aktiviti tahunan MOFE sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada pegawai serta kakitangan yang akan menunaikan Rukun Islam kelima berkenaan.


Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya.


Majlis pada tahun ini dikendalikan oleh LTN, MOFE.

Close