Kebawah DYMM berkenan menerima mengadap




Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 27 April. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan menerima mengadap Wakil Tertinggi bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan Kesatuan Eropah merangkap Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Puan Yang Terutama Kaja Kallas, yang mengadakan lawatan ke negara ini selama dua hari.


Ini merupakan lawatan Puan Yang Terutama buat julung kalinya ke Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-Kesatuan Eropah (European Union – EU) Ke-25 yang dihoskan oleh Brunei selaku Negara Penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-EU bagi tahun 2024 hingga 2027.


Mesyuarat tersebut akan membincangkan mengenai langkah-langkah bagi memajukan Perkongsian Strategik ASEAN-EU merentas sektor-sektor keutamaan, serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama kepada kedua-dua pihak.


Brunei dan EU menjalin hubungan kerja yang rapat melalui beberapa platform pelbagai hala termasuk ASEAN Regional Forum dan Mesyuarat Asia-Eropah, yang mana kedua-dua pihak mempunyai kerjasama baik dalam bidang perdagangan dan pelaburan serta keselamatan.


Menyertai PYT pada Majlis Mengadap tersebut ialah Duta Besar (Tidak Menetap) Kesatuan Eropah ke NBD, Tuan Yang Terutama Denis Chaibi; Member of Cabinet of the High Representative of the Union for Foreign Affairs and Security Policy and Vice-President of the European Commission, Michal Safianik; Managing Director for Asia and Pacific, European External Action Service, Erik Kurzweil; dan Pakar Komunikasi, European External Action Service, Romain Seignovert.


Juga hadir ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof; dan Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos


Majlis Mengadap tersebut berlangsung di Istana Nurul Iman.

Close