Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 26 April. - Persatuan Masyarakat India Bandar Seri Begawan (BSBIA) berjaya mengumpulkan sebanyak 80 pain darah menerusi Kempen Menderma Darah tahunan yang diadakan di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), hari ini.
Seramai 105 ahli komuniti India menyertai kempen tersebut yang menunjukkan sokongan padu terhadap salah satu inisiatif utama persatuan itu dalam khidmat masyarakat.
Hadir pada kempen berkenaan ialah Pesuruhjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ramu Abbagani.
Turut hadir, Setiausaha Agung BSBIA, Bharthidhasan Manivel bersama ahli-ahli jawatankuasa.
Dalam satu kenyataan, Yang Dipertua BSBIA, Sujaya Kamat berkata, persatuan tersebut telah menganjurkan kempen derma darah secara konsisten selama 30 tahun sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap tanggungjawab sosial dan kebajikan masyarakat.
Sementara itu, Bendahari BSBIA merangkap ketua penyelaras kempen, Suresh Borigam, yang telah mengendalikan kempen tersebut selama 12 tahun berturut-turut, menzahirkan rasa bangga kerana dapat meneruskan usaha dalam memberikan sumbangan terhadap usaha murni ini.
Beliau menekankan bahawa pendermaan darah merupakan amalan yang mudah, selamat dan mampu menyelamatkan nyawa, serta menggalakkan lebih ramai individu untuk menderma secara berkala.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penderma, yang disifatkan sebagai wira kerana sumbangan mereka membantu menyelamatkan nyawa.
Ucapan terima kasih juga dizahirkan kepada penyokong utama kempen, Dr. Sundrapandi (Dr. Prema Clinic), atas peranan penting beliau dalam membantu menganjurkan acara berkenaan, selain mempromosikan kesedaran mengenai aplikasi mudah alih Bloodkad serta menaja hidangan untuk para penderma.
BSBIA juga merakamkan penghargaan kepada kakitangan Pusat Pendermaan Darah, Hospital RIPAS serta pihak media atas sokongan berterusan dalam memastikan kejayaan dan liputan kempen tersebut.
BSBIA menegaskan komitmennya untuk terus menganjurkan lebih banyak inisiatif seumpamanya pada masa hadapan, dengan matlamat meningkatkan jumlah penderma darah sukarela dan berkala di seluruh negara.