Doa Kesyukuran untuk bakal jemaah haji Kementerian Pendidikan



Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Mohammad Hasif Matzin





BERAKAS, Sabtu, 25 April. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Kenaziran Sekolah-sekolah dan Pusat Teknologi Pendidikan (EdTech) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran dan Doa Selamat bagi meraikan seramai 89 bakal jemaah haji yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan termasuk tenaga pengajar daripada sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi.


Majlis diadakan di Dewan Utama, Kementerian Pendidikan, di sini.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Nazir Khas, Kementerian Pendidikan, Awang Khairol-Azri bin Haji Md. Kassim, disusuli dengan ceramah bertajuk 'Ahlan Wa Sahlan Duyuf Ar-Rahman', yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Muhammad Najib bin Haji Awang.


Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan derma kepada bakal-bakal jemaah haji yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.


Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat untuk memohon keselamatan dan kesejahteraan bagi para bakal jemaah haji agar perjalanan mereka diberkati dan dilindungi. 


Majlis Doa Kesyukuran dan Doa Selamat berkenaan antara lain bertujuan bagi memohon keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala agar kesemua bakal jemaah haji Kementerian Pendidikan akan mendapat perlindungan, keselamatan, dipermudahkan segala urusan dan sentiasa dalam keadaan sihat serta memperoleh haji yang mabrur. 


Ia juga bertujuan untuk meningkatkan semangat untuk beramal ibadat dan sikap pemedulian khasnya dalam kalangan warga Kementerian Pendidikan.


Turut hadir, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Korporat), ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan.


Close