Melancarkan, memantapkan perjalanan musabaqah



​​​

Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid





BERAKAS, Khamis, 23 April. - Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi akan diadakan selama tiga hari berturut-turut bermula Isnin malam Selasa, Selasa malam Rabu dan Rabu malam Khamis iaitu pada 10, 11 dan 12 Zulkaedah 1447 Hijrah bersamaan 27, 28 dan 29 April 2026 Masihi bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas bermula pukul 7.15 malam. Musabaqah pada tahun ini membawa tema 'Mengukuhkan Pembelajaran Al-Quran dan Menghayati Ajarannya'.


Sehubungan itu, bagi melancarkan dan memantapkan perjalanan Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H / 2026M pagi tadi diadakan latihan penuh bertempat di Dewan Plenary, ICC, Berakas.


Hadir sama bagi menyaksikan latihan tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H / 2026M dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H / 2026M.


Juga hadir, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim


bin Pengiran Haji Hassan. Turut hadir, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap kementerian-kementerian berkenaan serta ahli-ahli jawatankuasa kerja yang lain.


Seramai 12 peserta terdiri daripada enam peserta qari dan enam peserta qariah akan bertanding di Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H / 2026M.


Musabaqah tahun ini dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Datastream Digital Sdn. Bhd. (DST).


Close