Kebawah DYMM berkenan menerima mengadap





Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Muhammad Asri Awang Haji Abas

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 23 April. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan menerima mengadap Ketua Pengarah FAO, Tuan Yang Terutama Dr. Qu Dongyu dan rombongan dari Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (FAO).


Semasa Majlis Mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan kepentingan inovasi, adaptasi dalam menghadapi perubahan iklim serta pengukuhan kerjasama serantau dalam membangunkan sektor makanan yang lebih mampan dan berdaya saing bagi mencapai tahap sara diri, bukan sahaja bagi Negara Brunei Darussalam bahkan bagi rantau Asia Pasifik secara keseluruhannya.


Seterusnya, baginda juga bertitah mengalu-alukan kerjasama dan bantuan daripada FAO, khususnya dalam sektor pertanian dan akuakultur, selaras dengan usaha mencapai pembangunan sektor makanan yang berdaya tahan.


Tuan Yang Terutama Dr. Qu Dongyu berada di negara ini bagi menghadiri Persidangan di Peringkat Menteri-menteri semasa Sesi Ke-38 Persidangan Serantau bagi Asia dan Pasifik (APRC) di negara ini pada 23 hingga 24 April 2026.


Turut hadir pada Majlis Mengadap ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos; dan Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.


Close