Tekankan kepimpinan berkesan, perkukuh pembangunan kompetensi



​​


Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor/Morshidi, Mohammad Hasif Matzin

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 23 April. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bertitah menegaskan kepentingan bagi mengemudi landskap ekonomi dan tenaga yang semakin dinamik, khususnya dalam mengurus cabaran ketidakstabilan geopolitik, serta keperluan kekal berdaya saing, berdaya tahan dan tangkas demi melindungi nilai jangka panjang.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengurniakan titah tersebut semasa berkenan mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad (BSP) Ke-418 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat Brunei Shell Marketing Sendirian Berhad (BSM) Ke-196 bagi Suku Pertama bagi Tahun 2026 yang berlangsung di bangunan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini.


Semasa mengurniakan titah penutup, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, turut menekankan keutamaan berterusan terhadap keselamatan, kepimpinan berkesan dan pembangunan kompetensi, termasuk pengukuhan bakat, keupayaan organisasi serta budaya kerja berprestasi tinggi.


Penekanan ini titah baginda, adalah penting bagi memastikan kelestarian jangka panjang serta menyokong aspirasi negara.


Terdahulu, keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; dan Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah, selaku ahli-ahli Lembaga Pengarah Syarikat BSP dan Syarikat BSM.


Mesyuarat tersebut turut membincangkan prestasi operasi, keselamatan, kewangan, dan pembangunan tenaga manusia bagi Syarikat BSP dan Syarikat BSM.


Mesyuarat tersebut juga dihadiri oleh pihak-pihak berkepentingan termasuk Shareholder Directors yang mewakili Kerajaan Kebawah DYMM; Shell plc, serta ahli-ahli kepimpinan daripada BSP dan BSM.


Mesyuarat tersebut menandakan berakhirnya sesi Mesyuarat-mesyuarat Lembaga Pengarah-pengarah Syarikat-syarikat Brunei Shell Joint Venture (BSJV) Companies bagi Suku Pertama Tahun 2026.


06 (2).jpg


07 (2).jpg


08 (2).jpg


09 (2).jpg


10 (2).jpg



Close