Oleh : Ak. Mohd. Zaki Pg. Haji Kasharan / Foto : Ihsan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 22 April. - Keluarga bahagia bukanlah suatu gagasan yang idealisitik semata-semata bahkan merupakan tuntutan ugama, keperluan masyarakat dan pra-syarat penting kepada kekuatan serta kesejahteraan negara.
Usaha memperkukuh institusi keluarga bukan hanya tugas ibu bapa semata-mata dan bukan juga terhad kepada mahkamah, kementerian atau institusi ugama sahaja sebaliknya, ia menuntut iltizam bersama dan gerak kerja yang bersepadu daripada keluarga, masyarakat, masjid, institusi pendidikan, agensi kerajaan, institusi perundangan, badan kebajikan serta pemimpin di semua peringkat.
Dalam hubungan ini, adalah perlu untuk meletakkan pengukuhan keluarga sebagai salah satu keutamaan berterusan dalam pembinaan negara yang bukan sebagai agenda sampingan dan bukan sebagai usaha bermusim sahaja tetapi sebagai pelaburan jangka panjang dalam membina umat yang berilmu, berakhlak, berdaya tahan dan teguh pegangan imannya.
Perkara tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dalam Pembentangan Kertas Ceramah Perdana Mu'tamar Antarabangsa Fiqh Al-Usrah 2025 / 2026 (MUAFIQ 25 / 26), yang seterusnya menyempurnakan perasmian 'mu'tamar' berkenaan yang mengambil tempat di Dewan Tarbiah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), pagi tadi.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Tetap dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap KHEU; pegawai dan kakitangan kerajaan serta para pembentang dan peserta 'mu'tamar'.
Persidangan selama dua hari itu merupakan anjuran KUPU SB melalui Fakulti Syariah dan Pusat Kajian Fiqh Kontemporari dengan sokongan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Dengan bertemakan 'Keluarga Bahagia Menjamin Warisan Insan Berkualiti Lagi Beriman', MUAFIQ 25 / 26 telah menarik minat kira-kira 300 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan, mahasiswa mahasiswi dan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi mahupun pra-universiti, pertubuhan bukan kerajaan, pihak swasta dan orang awam.
MUAFIQ 25 / 26 antara lain bertujuan untuk mengukuhkan pembinaan keluarga berkat yang 'sakinah, mawaddah warahmah' di samping memberikan penjelasan kepada masyarakat mengenai pendidikan kekeluargaan termasuk cabaran-cabaran dalam menjalani hidup berkeluarga yang semakin mencengkam dewasa ini.
'Mu'tamar' ini tidak syak lagi boleh menjadi platform untuk penyebaran ilmu dan perkongsian maklumat serta pengalaman yang berkaitan dengan isu-isu kekeluargaan di Negara Brunei Darussalam.
Ia sekali gus menjadi wadah dalam menanai objektif KUPU SB untuk menjadi pusat kajian dan penyelidikan ilmiah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi keperluan agama, masyarakat dan negara.