Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
REPUBLIK SINGAPURA, Rabu, 22 April. - Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, mengetuai delegasi dan penyertaan Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam Singapore Maritime Week (SMW) dan EXPO 2026 yang berlangsung dari 20 hingga 24 April 2026.
Reruai maritim NBD di EXPO berkenaan diketuai oleh Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD), dengan penyertaan Muara Port Company Sdn. Bhd. (MPC) dan Muara Maritime Services (MMS) dalam mempamerkan inisiatif terkini negara dalam bidang maritim, pelabuhan dan digital, sambil melibatkan dengan pihak berkepentingan industri bagi meneroka peluang kerjasama serta bertukar pandangan mengenai masa depan sektor maritim.
Penyertaan secara kolaboratif oleh pemain industri maritim negara turut mengesahkan komitmen bersama negara dalam memperkukuh kerjasama maritim antarabangsa serta memajukan sektor maritim yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan. Ini merupakan penyertaan pertama MPABD dalam EXPO SMW.
Dianjurkan oleh Maritime and Port Authority of Singapore, SMW 2026 pada tahun ini menandakan edisi ke-20 dan telah dirasmikan oleh Acting Minister of Transport and Senior Minister of State for Finance of Singapore, Jeffrey Siow.
Dengan tema 'Actions Meet Ambition', acara berkenaan menghimpunkan lebih daripada 20,000 peserta daripada hampir 80 buah negara dan wilayah, termasuk para menteri, pegawai kanan kerajaan, pemimpin industri dan profesional maritim, untuk bertukar pandangan mengenai cabaran bersama serta meneroka laluan praktikal untuk masa depan perkapalan antarabangsa.
Pada Majlis Perasmian SMW 2026, Singapore Maritime Lecture telah disampaikan oleh Deputy Prime Minister and Minister for Trade and Industry of 1 Singapore, Gan Kim Yong. Syarahan berkenaan menekankan kepentingan kerjasama, inovasi dan kemampanan dalam membentuk fasa seterusnya pembangunan maritim global.
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi turut menyertai Meja Bulat Menteri secara tertutup yang diadakan bersempena SMW 2026, bertemakan 'Future Ready Maritime - Opportunities and Challenges Ahead', yang dipengerusikan oleh Jeffrey Siow.
Mesyuarat Meja Bulat berkenaan menghimpunkan para menteri dan ketua organisasi maritim dari 10 buah negara untuk membincangkan bidang utama termasuk kemampanan, pendigitalan dan kerjasama kawal selia.
Dalam Mesyuarat Meja Bulat berkenaan, Yang Berhormat, antara lain, menegaskan semula sokongan NBD terhadap sistem maritim antarabangsa berasaskan peraturan yang dilaksanakan secara seragam bagi memastikan laluan selamat kapal-kapal serta perlindungan kepada para pelaut.
Yang Berhormat juga menekankan kepentingan mengekalkan hubungan maritim yang mampan dan berdaya tahan bagi melindungi rantaian bekalan global serta keselamatan tenaga.
Turut hadir sebagai sebahagian daripada delegasi NBD, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di MTIC, Awang Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar; Ketua Eksekutif MPABD, Kapten (B) Zil Husam bin Haji Abdul Rahman; bersama pegawai kanan dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan MPABD.