Pelajar JIS capai keputusan cemerlang 58th Annual Chemistry Olympiad 2026




Siaran Akhbar dan Foto : Jerudong International School





JERUDONG, Rabu, 22 April. - Jerudong International School (JIS) dengan bangganya meraikan pencapaian cemerlang para pelajarnya dalam Pusingan 1, 58th Annual Chemistry Olympiad 2026, pertandingan berprestij yang dianjurkan oleh Royal Society of Chemistry (RSC).


Seramai 19 pelajar telah mengambil bahagian, dan setiap seorang berjaya meraih anugerah. Ini termasuk lima Anugerah Emas, 11 perak dan tiga gangsa, menyaksikan pencapaian kolektif yang luar biasa yang mencerminkan kecemerlangan individu serta kekuatan penyediaan akademik sekolah.


Keputusan ini meletakkan pelajar JIS dalam kalangan peserta terbaik di peringkat global. Anugerah Emas hanya dicapai oleh 8.5 peratus daripada lebih 17,000 peserta di seluruh dunia, dengan salah seorang pelajar JIS, Sherlin Loveline Gnanarathinam, berada dalam kelompok 2 peratus teratas. Selain itu, penerima Anugerah Perak berada dalam 25.4 peratus teratas calon di peringkat antarabangsa.


Anugerah Emas telah dimenangi oleh Joel Jai, Joshua Hung, Lemuel Dhanushan Chinniah, Sherlin Loveline Gnanarathinam dan Shin Khant Lin.


Manakala Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah juga berkenan memenangi Anugerah Perak diikuti Ampuan Muhammad Shahibul Dzakwan Ampuan Haji Sukarni, Ethan Sumbang, Syed Abdul Rahman Syed Azmal, Nerissa Tan, Rosaline Rahman, Sai Ananya, Sing Ying Shim, Awangku Umar Pengiran Md. Fakhrul Amiruddin, Abdul Mateen El-Waliy bin Fakhruddin dan Wan Sin Chong.


Anugerah Gangsa telah dianugerahkan kepada Mohammad Danial Aqil Mohammad Aliza, Muhammad Danish Luqman Saidin Hidayat dan Steve Thomas.


Beberapa pelajar yang menerima anugerah merupakan pelajar tajaan biasiswa di JIS, termasuk Joshua Hung, Nerissa Tan dan Wan Sin Chong (Kementerian Pendidikan) serta Ampuan Muhammad Shahibul Dzakwan Ampuan Haji Sukarni (Kementerian Hal Ehwal Ugama).


“Kami amat berbangga dengan para pelajar atas prestasi cemerlang mereka dalam Chemistry Olympiad ini. Melihat setiap peserta memperoleh anugerah, serta adanya pelajar yang berada dalam kalangan terbaik dunia, adalah satu pencapaian yang luar biasa," ujar Pengetua Eksekutif JIS, Nicholas Sheehan.


“Keputusan ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan akademik mereka, malah juga sifat ingin tahu, komitmen dan kesungguhan mereka untuk mencabar diri pada tahap tertinggi," tambahnya.

Close