Siaran Akhbar dan Foto : Kumpulan Sukarelawan Sabilul Khairat
BERAKAS, Selasa, 21 April. - Program Silaturahim dan Sambutan Hari Raya telah berlangsung dengan meriah di pekarangan Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Lambak Kanan, di sini, baru-baru ini.
Majlis tersebut turut diselajurkan dengan Perasmian Penubuhan Kumpulan Sukarelawan Sabilul Khairat, yang bertujuan memperkukuh semangat kesukarelawanan serta kebajikan dalam kalangan penduduk setempat.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Awang Misli bin Moksin, selaku Pengerusi Kumpulan Sukarelawan Sabilul Khairat, diikuti dengan ucapan daripada Penghulu Mukim Berakas 'B', Awang Haji Syed Mohd. Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah.
Para hadirin turut disajikan dengan tayangan gambar serta video yang memaparkan usaha-usaha murni kumpulan berkenaan sejak bermulanya Kempen Bersepadu Mukim Berakas 'B' pada 7 Disember 2025 sehingga ke hari ini.
Usaha berterusan yang dijalankan oleh kumpulan tersebut amat disanjung tinggi, khususnya dalam memastikan kawasan sekitar Masjid RPN Lambak Kanan sentiasa terpelihara, di mana pokok-pokok liar dan rumput-rumput kini dapat dikawal selia dengan lebih teratur dan berkesan.
Turut hadir selaku jemputan khas pada majlis berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, Ketua Kampung Belimbing, serta Yang Dimuliakan Pehin Bendahari Awang Haji Abu Bakar bin Pehin Orang Kaya Udana Lela Dato Paduka Awang Haji Umar, selaku Penasihat Majlis Perundingan Kampung RPN Lambak Kanan Kawasan 4.