Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas
JERUDONG, Selasa, 21 April. - Rantau Asia Pasifik kini berada di satu titik penting, di mana perubahan iklim, tekanan terhadap alam sekitar dan gangguan kepada rantaian bekalan global terus menguji ketahanan sistem agromakanan.
Cabaran-cabaran ini menekankan keperluan mendesak untuk memperkukuhkan kerjasama serantau dan tindakan yang lebih selaras.
Perkara tersebut antara yang ditekankan dalam ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab semasa Pembukaan Sesi Ke-38 Persidangan Serantau Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-bangsa Bersatu (FAO) bagi Asia dan Pasifik (APRC) peringkat Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) yang berlangsung di The Empire Brunei baru-baru ini.
Tambahnya, berpandukan Kerangka Strategik FAO 2022 hingga 2031 dan misinya untuk mencapai 'empat yang lebih baik' iaitu pengeluaran yang lebih baik, pemakanan yang lebih baik, persekitaran yang lebih baik dan kehidupan yang lebih baik tanpa meminggirkan sesiapa, mereka perlu memajukan penyelesaian yang inovatif, inklusif dan mampan bagi mentransformasikan sistem agromakanan.
Pandangan strategik ke hadapan dan data yang boleh dipercayai menurutnya, akan membolehkan mereka menjangka cabaran baharu dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan.
Dengan menyelaraskan piawaian dan memperkukuh pelaburan hijau dalam sistem agromakanan jelasnya, mereka dapat membentuk pasaran yang bersepadu dan berdaya tahan, sekali gus menjamin keselamatan makanan jangka panjang serta kemakmuran bersama dalam dunia yang semakin tidak menentu.
Dalam masa yang sama ujarnya, konflik yang berterusan di beberapa bahagian dunia, termasuk di Timur Tengah, memberi tekanan kepada sistem makanan global dengan potensi gangguan terhadap rantaian bekalan, peningkatan kos input dan pengangkutan, serta menyumbang kepada ketidaktentuan pasaran.
Perkembangan ini tegasnya lagi, memberi implikasi yang meluas terhadap ketersediaan dan kemampuan mendapatkan makanan, khususnya bagi golongan rentan.
Oleh itu tekannya, mereka perlu memperkukuh kerjasama, mempelbagaikan sumber bekalan dan membangunkan sistem agromakanan yang berdaya tahan bagi menghadapi dan mengekalkan kestabilan dalam menghadapi kejutan luar.
Sebagai pegawai kanan terangnya, mereka memainkan peranan penting dalam merangka cadangan yang akan membimbing keputusan peringkat menteri serta menentukan hala tuju masa depan rantau ini.
“Saya yakin perbincangan kita akan menghasilkan keputusan yang bermakna dan boleh dilaksanakan ke arah Asia Pasifik yang lebih berdaya tahan, inklusif dan terjamin keselamatan makanannya," ujarnya lagi.
Terdahulu itu, Setiausaha Tetap KSSUP berkata, Negara Brunei Darussalam amat berbesar hati untuk menjadi tuan rumah kepada perhimpunan pegawai kanan dan rakan kongsi yang komited untuk memajukan sistem makanan agromakanan yang mampan dan berdaya tahan di seluruh rantau kita.
Beliau seterusnya berharap para delegasi juga dapat merasai kemesraan layanan masyarakat Brunei dan semoga kunjungan mereka semua menjadi pengalaman yang produktif serta tidak dapat dilupakan.