Majlis Membaca Surah Yaa Siin, Tahlil sempena Penubuhan Jabatan Penerangan





Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi  / Foto : Mohammad Hasif Matzin, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 20 April. - Jabatan Penerangan hari ini telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yaa Siin dan Tahlil di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong bersempena Sambutan Memperingati Penubuhan Ke-74 Tahun.


Majlis keagamaan berkenaan khusus bagi ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman serta paduka anakanda baginda, Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim.


Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.


Turut hadir, Pegawai-pegawai Kanan Jabatan Perdana Menteri, para pegawai perhubungan awam dan para pegawai serta kakitangan Jabatan Penerangan.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran.


Sementara itu, pegawai-pegawai dan kakitangan wanita Jabatan Penerangan juga turut mengadakan Majlis Membaca Surah Yaa Siin dan Tahlil di Dewan Auditorium, Jabatan Penerangan.


Turut hadir, Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini.


Bacaan diketuai oleh Pembantu Pegawai Luar Penerangan, Dayang Izma Fatin Farina binti Abdullah Adi Kamarulzaman.


Di sepanjang 74 tahun penubuhannya, Jabatan Penerangan telah menempuhi pelbagai cabaran dalam usaha membarigakan dan menyampaikan maklumat serta dasar kerajaan, sama ada secara bersemuka mahupun melalui bahan-bahan penulisan seperti akhbar Pelita Brunei dan buku-buku terbitan. 


Kaedah pembarigaan kini diperluaskan ke platform dalam talian selaras dengan situasi semasa dan kehendak inovasi Perkhidmatan Awam ke arah transformasi digital.


Jabatan Penerangan juga akan terus memperkukuh peranannya dalam menyebarluaskan maklumat, dasar, program dan aktiviti kerajaan yang sahih, di samping berfungsi sebagai platform perantaraan yang menghubungkan rakyat dengan kerajaan.


Close