Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 20 April. – Brunei Fertilizer Industries Sendirian Berhad (BFI) dan Polygel Intermediates (B) Sendirian Berhad (PIBSB) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama strategik dalam pembangunan industri hiliran minyak dan gas negara.
Majlis penandatanganan berlangsung di Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, juga selaku Pengerusi BFI.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II menekankan bahawa pemeteraian MoU tersebut merupakan satu lagi langkah penting dalam pelan strategik negara bagi industri hiliran minyak dan gas, yang merupakan antara lima sektor keutamaan dalam Pelan Induk Ekonomi Negara.
“Dengan menjamin bekalan bahan mentah penting seperti ammonia dan asid nitrik, serta mengenal pasti peluang pembangunan hiliran dan infrastruktur berkaitan di Sungai Liang Industrial Park (SPARK), kita menyaksikan usaha berterusan dalam memperkukuh asas industri Negara Brunei Darussalam," ujarnya.
Tambah Yang Berhormat, masa kerjasama ini amat bertepatan susulan penubuhan Persatuan Baja Asia Tenggara baru-baru ini, di mana BFI merupakan ahli pengasas dan Negara Brunei Darussalam dipilih sebagai lokasi sekretariat tetap persatuan berkenaan.
Menurutnya, peranan tersebut meletakkan BFI di tengah-tengah usaha ASEAN dalam memperkukuh keselamatan makanan dan amalan pertanian mampan, di samping mencerminkan sinergi serantau yang turut dizahirkan melalui kerjasama domestik antara BFI dan Polygel.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan bahawa kerjasama antara dua syarikat berkaitan kerajaan itu mencerminkan peralihan positif ke arah ekosistem industri hiliran yang lebih kukuh dan bersepadu.
Projek Asid Asetik dan Anilin yang bakal dilaksanakan oleh Polygel dijangka mempertingkatkan rantaian nilai industri serta membuka peluang dalam integrasi operasi dan pembangunan modal insan.
Yang Berhormat juga menyambut baik potensi pembangunan hiliran lanjutan daripada projek tersebut, termasuk penghasilan Vinyl Acetate Monomer dan Methylene Diphenyl Diisocyanate yang digunakan secara meluas dalam industri pelekat, salutan dan bahan pembinaan, selaras dengan Pelan Hala Tuju Industri Hiliran Minyak dan Gas negara.
“Projek ini merupakan asas penting dalam usaha kepelbagaian ekonomi negara. Di peringkat tempatan, ia membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi khususnya kepada golongan belia dalam bidang kejuruteraan dan operasi loji. Di peringkat antarabangsa, penyertaan Polygel dalam pasaran global akan memperkukuh kedudukan Negara Brunei Darussalam dalam rantaian bekalan bahan kimia khusus," tambahnya.
Melalui penukaran bahan mentah kepada produk perantaraan bernilai tinggi di SPARK, negara akan terus memainkan peranan aktif dalam ekonomi global di samping membentuk masa depan industri hiliran negara.
MoU tersebut menetapkan rangka kerja bagi kedua-dua pihak untuk meneroka peluang kerjasama, khususnya dalam pembekalan ammonia oleh BFI kepada PIBSB serta pembekalan asid nitrik oleh PIBSB kepada BFI.
Selain itu, kerjasama berkenaan turut meliputi usaha meneroka peluang eksport hidrogen, pembangunan latihan dan keupayaan tenaga kerja, serta penilaian pembangunan hiliran dan produk nilai tambah di kawasan SPARK.
Bagi pihak BFI, MoU ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Harri Kiiski, manakala Polygel diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Luv Shah.
Majlis turut disaksikan oleh Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif BFI, Dayang Hajah Nur Raihan binti Dato Paduka Haji Mohd. Rosli dan Pengurus Alam Sekitar, Kesihatan dan Keselamatan Polygel, Wilson Nadan.
MoU ini mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak dalam memperkukuh integrasi industri, mengoptimumkan penggunaan sumber, serta menyokong pertumbuhan industri yang mampan di Negara Brunei Darussalam.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Setiausaha Tetap (Tenaga) di JPM, Dayang Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib; Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri), Dr. Hajah May Fa'ezah binti Haji Ahmad Ariffin; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Industri), Awang Mohammad Harris bin Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim.