2 pesawat C295MW tiba di NBD





Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas





RIMBA, Isnin, 20 April. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Leftenan Kolonel (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah hari ini berkenan berangkat menyempurnakan Upacara Ketibaan Dua Buah Pesawat Airbus C295MW terakhir bagi Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) di Pusat Pergerakan Udara, Pangkalan Tentera Udara Rimba.


Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Leftenan Kolonel (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen dijunjung oleh Pemangku Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim; Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin dan Pemerintah TUDB, Brigedier Jeneral (U) Haji Haszahaidi bin Haji Ahmad Daud.


Turut hadir, Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif ABDB dan Pegawai-pegawai Kanan ABDB.


Upacara dimulakan dengan menyaksikan penghormatan tradisi 'Water Salute' sebaik sahaja pesawat memasuki Apron Tentera, diiringi dengan laungan selawat sebagai tanda kesyukuran atas ketibaan pesawat yang selamat.


Kedua-dua buah pesawat tersebut telah menamatkan penerbangan feri selama tujuh hari dari fasiliti pembekal bermula pada 14 April 2026.


Upacara tersebut diteruskan dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Mejar Narulismandy@Anwar Hadi bin Haji Samah, diikuti dengan tinjauan pesawat yang baru tiba oleh Duli Yang Teramat Mulia dan seterusnya disembah kenalkan kepada kru yang terlibat dalam penghantaran pesawat berkenaan.


DYTM kemudian berkenan masuk ke dalam 'cockpit' pesawat.


Upacara diakhiri dengan sesi bergambar ramai, diikuti dengan Majlis Santap Petang di Bilik Merbuk dan penandatanganan Lembaran Keberangkatan sebelum berangkat meninggalkan majlis.


Ketibaan pesawat ketiga dan keempat, masing-masing diberikan designasi 'TUDB 504' dan 'TUDB 505' telah melengkapkan barisan pesawat Airbus C295MW TUDB.


Perolehan ini merupakan satu pencapaian penting dalam pemodenan TUDB, sekali gus memperkukuhkan lagi keupayaan pengangkutan udara bagi perlaksanaan misi kebangsaan dan serantau.


Penghantaran awal dua pesawat pertama telah dilaksanakan pada 24 Januari 2024 dalam upacara yang disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.


Pesawat tersebut diperkenalkan secara rasmi dalam perkhidmatan melalui Upacara Perasmian Perkhidmatan pada 14 Februari 2024, yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di mana baginda sendiri berkenan menerbangkan pesawat berkenaan.


Sejak memulakan perkhidmatan, pesawat Airbus C295MW TUDB telah mencatatkan 518 penerbangan merentasi lapan buah negara di Asia Tenggara.


Antara pengerahan penting termasuk misi Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR) ke Republik Filipina berikutan Taufan Trami pada tahun 2024 dan ke Republik Kesatuan Myanmar pada tahun 2025. Pesawat ini turut melaksanakan misi pengangkutan VIP dengan jarak operasi meliputi sehingga Timor-Leste.


06 (1).jpg


07 (1).jpg


08 (1).jpg


09 (1).jpg


10 (1).jpg



Close