Majlis Aidilfitri AFSA perkukuh jalinan kerjasama, ukhuwah




Berita dan Foto : Ihsan Persatuan Aftercare Support Association





BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 19 April. - Suasana Hari Raya Aidilfitri masih lagi terasa walaupun Syawal hampir ke penghujungnya, apabila Persatuan Aftercare Support Association (AFSA) mengadakan Majlis Sambutan Aidilfitri baru-baru ini di sebuah restoran di Kampung Mabohai.


Majlis tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap kerjasama berterusan rakan-rakan strategik AFSA yang sentiasa memberikan sokongan dalam usaha menyantuni Rakan Seliaan (RS), di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara semua pihak yang terlibat.


Hadir memeriahkan majlis ialah Penasihat AFSA, Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Yang Dipertua AFSA, Dayang Hajah Juhana binti Haji Jaya; Timbalan Yang Dipertua AFSA, Awang Haji Mustapa bin Haji Masri; Ahli Jawatankuasa Tadbir AFSA; rakan-rakan strategik serta RS.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Kesyukuran, diikuti sesi suai kenal dan ramah mesra antara Penasihat AFSA bersama RS.


Sambutan tersebut amat bermakna khususnya kepada Rakan Seliaan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan berterusan AFSA terhadap kebajikan mereka.


Para RS juga menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan strategik AFSA yang sentiasa membantu serta memberikan sokongan padu selama ini.

Close