Awang Muhammad Asyraf calon Ketua Kampung Mentiri




Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said





MENTIRI, Ahad, 19 April. - Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung Mentiri, Mukim Mentiri berlangsung di Dewan Serbaguna, Kelab Perkhidmatan Awam, di sini, dengan menggunakan kaedah kertas undi.


Manakala pengundian menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK telah pun bermula pada Jumaat, 17 April 2026 yang lalu.


Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Imam Tingkat III, Masjid Kampung Mentiri, Awang Haji Sanip bin Haji Nassar.


Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung Mentiri, Mukim Mentiri menyaksikan Awang Muhammad Asyraf bin Asli, mendapat sebanyak 156 undian setuju.


Awang Muhammad Asyraf, berusia 34 tahun, menetap di Kampung Mentiri sejak 33 tahun yang lalu dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama (Syariah) dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan pada 2016.


Beliau pernah berkhidmat di Serikandi Oilfield Services.


Hadir pada majlis berkenaan, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.


Juga hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, Ketua Kampung Subok.


Keputusan Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung akan dihadapkan ke Lembaga Perjawatan, Disiplin dan Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) bagi proses selanjutnya.

Close