Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 19 April. - Allah Subhanahu Wata'ala mengajar kita agar sentiasa bergantung sepenuhnya kepada-Nya dengan memohon empat perkara utama, iaitu petunjuk, makanan, pakaian dan keampunan.
Ini kerana hakikat manusia sentiasa berada dalam kesesatan tanpa hidayah-Nya, dalam kelaparan tanpa kurnia rezeki-Nya, dalam kekurangan tanpa pemberian-Nya serta tidak pernah terlepas daripada dosa.
Maka hanya kepada Allah Subhanahu Wata'ala tempat kita berharap, memohon dan bersandar sepenuhnya.
Demikian antara inti pati tazkirah yang disampaikan oleh Da'ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei, Dayang Nur Fairuza Syahirah binti Haji Marsidi, bagi menyerikan Malam Munajat (Khas untuk Wanita Ke-34) anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Kali Ke-225 baru-baru ini.
Menyemarakkan acara Malam Munajat berkenaan ialah Ahli-ahli Persatuan Kebajikan Wanita Khyraa Imtiyaz, Program Keugamaan Belia, KHEU; serta warga kerja wanita KHEU dan juga individu yang mengikuti program berkenaan secara maya dari kediaman masing-masing.
Atur cara Malam Munajat (Khas untuk Wanita Ke-34) berkenaan dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Ketua Bahagian Keugamaan Persatuan Kebajikan Wanita Khyraa Imtiyaz, Program Keugamaan Belia, KHEU, Dayang Hajah Nurul Aina binti Haji Lamit, yang bersiaran dari Mushalla Al-Ameen, Pusat Da'wah Islamiah (PDI).
Diikuti dengan bacaan Surah Ar-Rahman beramai-ramai yang dipimpin oleh Bendahari Persatuan Kebajikan Wanita Khyraa Imtiyaz, Program Keugamaan Belia, KHEU, Dayang Hajah Farizah binti Haji Kampong@Haji Kamaluddin.
Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Ketua Bahagian Aktiviti dan Kebudayaan Persatuan Kebajikan Wanita Khyraa Imtiyaz, Program Keugamaan Belia, KHEU, Dayang Noraziera binti Haji Ismail.
Sejurus selesai tazkirah, program diteruskan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai yang dipimpin oleh Dayang Nurul Hazimah binti Hamdan, Ahli Persatuan Kebajikan Wanita Khyraa Imtiyaz, Program Keugamaan Belia, KHEU.
Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Wanita Khyraa Imtiyaz, Program Keugamaan Belia, KHEU, Dayang Noorazlina binti Haji Tamin.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar NBD berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.
Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan http://tiny.cc/munajatkheuwanita.