Hargai nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat



Siaran Akhbar dan Foto : Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Kota Batu





KOTA BATU, Jumaat, 17 April. - Majlis Sambutan Jalinan Ukhwah Aidilfitri Mukim Kota Batu telah menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat serta pemimpin setempat dalam suasana mesra dan penuh muhibah.


Majlis berkenaan dihadiri oleh tetamu kehormat, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat selaku Pemangku Penghulu Mukim Kianggeh serta Ketua Kampung Subok.


Juga hadir ialah Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, Ketua Kampung Belimbing.


Pengerusi Majlis, Awang Rasli bin Taram, Penghulu Mukim Kota Batu, berkata penganjuran majlis itu adalah sejajar dengan matlamat untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara institusi-institusi penting di bawah Mukim Kota Batu.


Ia termasuk Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, Pemimpin Sekolah, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, Pengawas Kejiranan serta persatuan-persatuan NGO.


“Majlis ini menjadi platform untuk semua pihak saling berkenalan, bertukar pandangan serta memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat," jelas Awang Rasli.


Selain itu, majlis berkenaan turut bertujuan menghargai jasa dan usaha gigih persatuan-persatuan NGO yang sentiasa menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan asas serta sumbangan kewangan kepada penduduk kampung, khususnya ketika bulan Ramadan.


Antara persatuan yang diberikan penghargaan ialah Persatuan Sukarelawan Kebajikan dan Kemasyarakatan, Lotus Light Charity Society serta Brunei Petroleum Authority atas sumbangan berterusan mereka kepada masyarakat setempat.


“Bagi pihak Mukim Kota Batu, saya merakamkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana jamuan Aidilfitri dan sesi ramah mesra ini sekali gus mencerminkan semangat perpaduan serta kerjasama erat dalam kalangan penduduk Mukim Kota Batu," jelasnya.


Close