Siaran Akhbar dan Foto: Brunei Shell Petroleum Sdn. Bhd.
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 17 April. – Brunei Shell Petroleum Sdn. Bhd. (BSP) baru-baru ini telah menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya di House 49 (kediaman rasmi Pengarah Urusan BSP), menghimpunkan pegawai-pegawai kanan kerajaan, pelanggan serta rakan niaga dalam suasana mesra bagi meraikan perpaduan, kesyukuran dan kebersamaan.
Hadir pada majlis tersebut, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, Penghulu Mukim Bukit Sawat dan Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah@Lim Swee Ann, Ketua Kampung Bukit Sawat serta Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Muhammad Faiq bin Haji Rani, yang mencerminkan hubungan kerjasama kukuh dan semangat kolaborasi yang terus menyokong operasi serta sumbangan BSP kepada negara.
Majlis tersebut memberikan peluang kepada para tetamu untuk beramah mesra dalam suasana santai dan meriah sambil menikmati juadah Hari Raya serta layanan budaya tempatan.
Ia juga menjadi platform bermakna untuk mengukuhkan hubungan dan merakamkan penghargaan kepada para pemegang taruh atas kepercayaan dan sokongan berterusan sepanjang 97 tahun operasi BSP dan untuk tahun-tahun yang akan datang.
Acara ini turut menyaksikan sesi penyerahan sumbangan kepada 42 anak yatim daripada syarikat-syarikat usaha sama Brunei Shell (BSJV), yang diketuai oleh Pengarah Urusan BSP, Johan Atema dan Pengurus Sumber Manusia Brunei LNG, Rezona Tajudin.
Sumbangan tersebut merupakan hasil kutipan daripada kakitangan BSJV dan menekankan komitmen berterusan BSP terhadap tanggungjawab sosial serta kebajikan masyarakat.
Dalam ucapannya, Johan Atema berkongsi pandangannya dengan menyatakan, “Hari Raya adalah waktu yang bermakna untuk kita merenung nilai-nilai perpaduan, hormat-menghormati dan kebersamaan yang berakar dalam budaya Brunei dan tentunya menikmati juadah yang sangat lazat.
“Di BSP, kami amat menghargai hubungan kukuh yang telah dibina bersama para pemegang taruh, rakan kongsi dan khususnya masyarakat umum. Melalui semangat kerjasama dan saling menghormati inilah kita terus berkembang dan menyumbang kepada negara".