Penyerahan bendera negara kepada kontinjen Sukan Pantai Asia Ke-6




Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said





BERAKAS, Khamis, 16 April. - Negara Brunei Darussalam (NBD) akan menghantar kontinjen bagi menyertai Sukan Pantai Asia Ke-6 yang akan berlangsung secara rasminya bermula pada 22 hingga 30 April 2026 di Sanya, Republik Rakyat China.


Kontinjen NBD dianggotai oleh seramai lapan orang terdiri daripada empat atlet dan empat pegawai termasuk Chef de Mission, ketua urus setia / pegawai Safeguarding / Prevention of Manipulation of Competition dan jurulatih.


Sehubungan dengan itu, Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen NBD Ke Sukan Pantai Asia Ke-6, Sanya, Republik Rakyat China telah berlangsung di Bilik Simpur, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini.


Berkenan berangkat bagi menyempurnakan majlis berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan NBD (BDNOC).


Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustafa bin Haji Murat, diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad.


Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam sembah alu-aluannya mengimbas kembali penyertaan NBD di kejohanan Sukan Pantai Asia Ke-5 pada 2016 di Da Nang, Republik Sosialis Viet Nam yang telah diadakan pada 24 September hingga 3 Oktober 2016 dan NBD telah menyertai satu acara sukan sahaja, iaitu Sepak Takraw Pantai.


"Alhamdullilah, NBD telah berjaya meraih satu pingat gangsa.


"Semoga dengan kejayaan ini dapat memberikan motivasi dan membakar semangat para atlet untuk secara berterusan mempertingkatkan keupayaan dalam memberikan saingan kepada pihak lawan dengan persaingan secara sihat," sembah Yang Berhormat lagi.


Pada kejohanan kali ini sembah Yang Berhormat, NBD akan menyertai dua acara sukan, iaitu 'athletics' dan teqball dengan menghantar kontinjen seramai lapan ahli yang terdiri daripada seorang Chef de Mission, empat atlet, dua jurulatih dan seorang ketua urus setia.


Dalam sembahnya, Yang Berhormat seterusnya mengingatkan agar semua atlet sentiasa berwaspada terhadap penggunaan ubat-ubatan atau suplemen yang tidak sah atau diragui, dan berharap agar kontinjen NBD akan mencapai kejayaan cemerlang dan terus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.


Kemuncak majlis ialah sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan seterusnya penyerahan bendera NBD oleh Presiden BDNOC kepada Pengiran Abdul Raub bin Pengiran Haji Ghani selaku Chef de Mission Kontinjen NBD ke Sukan Pantai Asia Ke-6, Sanya, Republik Rakyat China. 


Acara diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustafa, dan diselajurkan dengan sesi bergambar ramai bersama Presiden BDNOC.


Penyertaan berkenaan juga mencerminkan komitmen negara dalam menyokong penglibatan wanita dalam sukan, selaras dengan usaha memupuk kesaksamaan jantina (inclusivity of women in sports) dalam arena sukan kompetitif.


Juga hadir, Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan, Persatuan-persatuan Sukan Kebangsaan, dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta keluarga atlet.


Kontinjen negara dijangka akan bertolak ke Sanya, Republik Rakyat China pada Sabtu, 18 April 2026.

Close