Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis,16 April. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap dan junjung ziarah bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam bagi Musim Haji Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Pada majlis yang berlangsung di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman hari ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap dan junjung ziarah daripada seramai 993 orang bakal jemaah haji, terdiri daripada 481 orang bakal jemaah haji lelaki dan 512 orang bakal jemaah haji perempuan.
Jumlah tersebut termasuk Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Pentadbiran dan Perubatan) serta Pegawai Pengiring daripada Syarikat-syarikat Pengendali Perkhidmatan Pakej Haji.
Terdahulu, sebelum Majlis Mengadap dan Junjung Ziarah, para bakal jemaah haji negara telah menunaikan Sembahyang Fardu Zuhur Berjemaah yang diimamkan oleh Awang Omardi bin Haji Abu Bakar, diikuti dengan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah diimamkan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi.
Pada majlis tersebut, bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam bagi Musim Haji Tahun 1447H / 2026M telah menerima Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berupa pakaian ihram bagi bakal jemaah haji lelaki dan telekung bagi bakal jemaah haji perempuan sebagai tanda keprihatinan baginda terhadap kebajikan para jemaah haji negara yang akan menunaikan Rukun Islam Kelima.
Bagi musim haji tahun ini, seramai 1,020 jemaah bakal menunaikan fardu haji di mana sebanyak tujuh buah Syarikat Pengendali Perkhidmatan Pakej Haji telah dilantik bagi menguruskan perjalanan dan kebajikan jemaah, iaitu Darussalam Services Sdn. Bhd. (DSSB), Straits Central Agencies Sdn. Bhd. (SCA), At-Taqwa Travel Tours Sdn. Bhd., Titian Travel and Tours Sdn. Bhd., Dar El-Ehsan Travel Sdn. Bhd., Al-Hijrah Travel and Tours Sdn. Bhd. dan Balurih Travel Sdn. Bhd.
Penerbangan bakal jemaah haji negara akan bermula pada Isnin, 4 Mei 2026 pada jam 12.00 tengah hari bagi penerbangan pertama, diikuti tiga hari berikutnya bagi penerbangan kedua, ketiga dan keempat sehingga 7 Mei nanti.
Kita doakan agar dipermudahkan segala urusan sekalian para 'duyufurrahman' kita dan sempurna melaksanakan segala perkara rukun haji serta memperoleh haji yang mabrur, kesihatan yang baik serta pergi dan balik dengan sihat walafiat dan selamat sejahtera hendaknya. Amin Ya Rabbal Alamin.