BFI menerima kunjungan Perdana Menteri Australia




Oleh : Aimi Sani / Foto : Hernie Suliana Haji Othman





SUNGAI LIANG, Rabu, 15 April. - Brunei Fertilizer Industries Sdn. Bhd. (BFI) hari ini mengalu-alukan ketibaan Perdana Menteri Australia, The Honourable Anthony Albanese MP sempena lawatan kerja ke Negara Brunei Darussalam (NBD) termasuk kunjungan ke loji BFI yang terletak di Taman Perindustrian Sungai Liang (SPARK) di Daerah Belait.


Perdana Menteri Australia diiringi oleh Menteri Hal Ehwal Luar Australia, Senator the Honourable Penny Wong; dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke NBD, Tuan Yang Terutama Michael Hoy.


Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah, selaku Pengerusi BFI serta Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad.


Semasa lawatan berkenaan, Perdana Menteri Australia melawat loji BFI dan mendapat gambaran langsung tentang skala, kecekapan dan teknologi canggih yang digunakan di salah satu kemudahan baja 'single-train' terbesar di Asia Tenggara.


Lawatan berkenaan juga memberi peluang untuk meninjau piawaian keselamatan BFI yang kukuh serta melihat dengan lebih dekat rangkaian produk urea berbutir dan urea bersalut keluaran BFI.


Syarikat berkenaan kekal komited dalam menjadi pembekal produk baja berkualiti tinggi yang boleh dipercayai dan akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong rantaian bekalan pertanian global dan mempromosi amalan pertanian lestari melalui pengenalan bekalan baja kecekapan yang dipertingkatkan atas permintaan, terutamanya pada masa ketidakpastian dan turun naik yang semakin meningkat dalam pasaran global.


Lawatan berkenaan juga menekankan hubungan yang kukuh dan berkekalan antara NBD dan Australia dengan komitmen bersama untuk meningkatkan kerjasama dalam perdagangan, keselamatan makanan dan bidang kepentingan bersama yang lain.


Di samping itu, majlis berkenaan turut mengetengahkan kepentingan syarikat yang semakin meningkat sebagai pengeksport utama urea dan rakan strategik kepada Australia. BFI menzahirkan rasa berbesar hati menerima kunjungan Perdana Menteri Australia dan berharap dapat mengukuhkan lagi hubungan berkenaan serta memupuk kerjasama yang lebih erat untuk tahun-tahun akan datang.


BFI merupakan loji ammonia dan urea utama negara dan juga merupakan salah satu loji baja tunggal terbesar di Asia Tenggara. Ditubuhkan pada Oktober 2013 dan dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan NBD, loji canggih BFI terletak di tapak seluas 55 hektar di Taman Perindustrian Sungai Liang di Daerah Belait dan mengkhusus dalam perolehan, pengeluaran, pengedaran, jualan dan pemasaran baja nitrogen dan bahan kimia perindustrian.

Close