Oleh : Siti Rokiah Abdullah / Foto : Ihsan Haji Erifin HMY
KASAT, Isnin, 13 April. - Dalam usaha mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kasat telah menganjurkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung meriah di Kantin Dewan Muhibbah Kedai Kampung MPK Kasat.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh Ahli-ahli MPK Kasat, Biro Wanita MPK Kasat, penduduk kampung serta jemputan khas yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kasat, Guru-guru Sekolah Rendah Kasat dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.
Pelbagai pengisian menarik telah diadakan bagi memeriahkan sambutan, antaranya sesi bergambar ramai, jamuan Hari Raya serta cabutan bertuah.
Sambutan ini bukan sahaja menjadi platform untuk meraikan Aidilfitri dalam suasana penuh kegembiraan, malah turut menyediakan ruang interaksi sosial yang mampu mengukuhkan hubungan kejiranan dalam kalangan penduduk kampung.
Menurut wakil penganjur, penganjuran majlis seumpama ini diharapkan dapat terus menyemarakkan semangat bergotong-royong serta nilai kekeluargaan dalam kalangan masyarakat Kampung Kasat, selaras dengan hasrat untuk membentuk komuniti yang harmoni, bersatu padu dan saling bekerjasama.