Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 13 April. – Seramai 20 saudara baharu (mualaf) yang terpilih dan memenuhi syarat telah dikurniakan Tambang Haji Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi menunaikan ibadat Fardu Haji bagi Musim Haji Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi.
Setiap seorang menerima tambang sebanyak BND4,500 mengikut kadar yang diberikan kepada pegawai-pegawai kerajaan.
Dalam pada itu, Majlis Ugama Islam Brunei telah mengeluarkan agihan wang zakat asnaf mualaf berjumlah BND341,400 yang meliputi pembayaran sebanyak BND286,900 kepada Syarikat Darussalam Services Sdn. Bhd, dan BND14,500 kepada Syarikat Pelancongan dan Pengembaraan Al-Hijrah Sdn. Bhd. bagi mencukupkan bayaran Pakej Haji yang diikuti oleh 20 saudara baharu berkenaan serta agihan kewangan sebanyak BND2,000 bagi perbelanjaan persendirian (wang saku) turut diberikan kepada setiap seorang daripada mereka.
Sehubungan itu, Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal mengadakan Majlis Penyerahan Bayaran Pakej Haji kepada Syarikat Pengendali Haji dan Penyampaian Agihan Wang Saku kepada 20 orang saudara baharu (mualaf) yang terpilih dan memenuhi syarat untuk mendapatkan Kurnia Tambang Haji daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada petang tadi bertempat di Dewan Multaqa, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Hadir menyempurnakan penyerahan tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Brunei.
Saudara-saudara baharu tersebut dikurniakan setiap seorang dikurniakan Tambang Haji Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengikut kadar yang diberikan kepada pegawai-pegawai kerajaan, iaitu sebanyak BND4,500 seorang.
Setiap seorang turut dikurniakan agihan kewangan bagi mencukupkan bayaran Pakej Haji kendalian Syarikat-syarikat Pengendali Haji yang diikuti oleh asnaf mualaf untuk menunaikan Fardu Haji, iaitu berjumlah BND19,600 bagi jemaah yang mengikuti Syarikat Darussalam Services Shd. Bhd. dan BND19,000 bagi jemaah yang mengikuti Syarikat Pelancongan dan Pengembaraan Al-Hijrah Sdn. Bhd. Agihan kewangan ini dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Zakat Asnaf Mualaf.
Setiap seorang turut diberikan agihan kewangan sebanyak BND2,000 bagi perbelanjaan persendirian (wang saku). Agihan kewangan ini juga diambil daripada Kumpulan Wang Zakat Asnaf Mualaf.
Semoga dengan Kurnia Tambang Haji dan Agihan Wang Zakat daripada Peruntukan Zakat Asnaf Mualaf ini akan dapat mengukuhkan lagi iman saudara-saudara baharu kita, di samping meningkatkan penghayatan mereka terhadap ajaran agama Islam dengan lebih sempurna.
Semoga mereka juga dapat melaksanakan ibadah haji dengan penuh kesabaran dan takwa, serta sentiasa berada di bawah perlindungan, pemeliharaan serta keampunan Allah Subhanahu Wata'ala dan seterusnya memperoleh haji yang mabrur.