Memperkukuh ukhuwah Islamiah, keharmonian masyarakat setempat



Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

 

 

 

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 10 April. - Walaupun bulan Syawal kini memasuki minggu terakhir, suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri di negara ini masih terus dirasai dengan pelbagai acara keagamaan dan silaturahim yang mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.


Sehubungan dengan itu, Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (RIPAHS), Kampung Rimba telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi Kelas Al-Quran dan Muqaddam, dan Ahli Jawatankuasa Takmir dan Muslimah di masjid berkenaan.


Terdahulu itu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Ketua Imam Masjid RIPAHS, Awang Mohamad Adham bin Hashim, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Awang Muhammad Faaeq Imtiyaz bin Haji Sudirman. 


Kemudian, majlis turut diserikan dengan Ceramah Motivasi yang disampaikan oleh Kaunselor Pelawat, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), dan Penolong Profesor Adjung, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Awang Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor, disusuli dengan Selawat beramai-ramai dibawakan oleh guru-guru Kelas Al-Quran dan Muqaddam.


Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan Allah Peliharakan Sultan, diikuti dengan sesi bergambar ramai dan bersalaman.


Sambutan Hari Raya pada minggu terakhir Syawal tetap membawa suasana istimewa kerana memberi peluang terakhir untuk bersama-sama meraikan Aidilfitri dalam suasana penuh keberkatan.


Usaha seumpama berkenaan diharap akan terus menjadi tradisi tahunan dalam memperkukuh ukhuwah Islamiah serta keharmonian masyarakat setempat.

Close