Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 10 April. – Dengan menumpukan kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Ke-7 iaitu Tenaga Mampu Milik dan Bersih, Persidangan Isu-isu Global Borneo Sekolah Antarabangsa Brunei Ke-21 (ISB BGIC) menyaksikan penglibatan lebih 300 pelajar perwakilan daripada 23 buah sekolah iaitu 22 daripada Negara Brunei Darussalam dan sebuah dari luar negara.
Berlangsung dari 10 hingga 13 April 2026, ISB BGIC Ke-21 dianjurkan oleh ISB dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan dan disokong oleh Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam dan Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam.
ISB telah menganjurkan sidang media hari ini di Kampus ISB di Kampung Sungai Hanching, dengan memperkenalkan penyampai ucaptama bagi persidangan berkenaan iaitu Tim Jarvis AM dan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Ken O'Flaherty.
Tim Jarvis AM merupakan seorang saintis alam sekitar, penjelajah, penulis dan pembikin dokumentari British-Australia yang terkenal kerana mengulangi ekspedisi Antartika bersejarah seperti milik Douglas Mawson dan Ernest Shackleton menggunakan peralatan asal. Beliau berkelulusan sarjana dalam sains dan undang-undang alam sekitar, pernah menasihati organisasi tentang kelestarian, serta mengetuai projek iklim seperti 25zero dan The Forktree Project.
Sementara itu, Ken O'Flaherty telah dilantik sebagai Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam pada Ogos 2025 selepas berkhidmat sebagai Kuasa Usaha ad interim ke Myanmar. Sebagai Ahli Perkhidmatan Diplomatik United Kingdom sejak tahun 1996, beliau pernah berkhidmat di Itali, Perancis, Jepun dan Kesatuan Eropah, serta sebelum ini memegang jawatan sebagai Duta Serantau COP26 bagi rantau Indo-Pasifik, menyumbang kepada usaha tindakan iklim berkaitan COP26. Kerjaya beliau merangkumi bidang diplomasi dalam keselamatan, perdagangan, iklim dan tindak balas krisis, termasuk kepimpinan semasa wabak COVID-19 di Eropah.
ISB BGIC Ke-21 ditaja oleh penaja utama Golden Tree, Unified National Networks Sdn. Bhd. (UNN); penaja Silver Leaf iaitu Brunei Shell Petroleum Company Sdn. Bhd., Hengyi Industries Sdn. Bhd., Imagine Sdn. Bhd., Hibiscus Petroleum Sdn. Bhd. serta BYD | Denza, Maju Motors Sdn. Bhd.; penaja Bronze Earth iaitu Dynamik Technologies Sdn. Bhd., Brunei Fertilizer Industries Sdn. Bhd., Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Brunei Methanol Company Sdn. Bhd. (BMC) serta penaja dalam bentuk sumbangan iaitu Aewon Garment & Embroidery, Air Cat Logistics Sdn. Bhd., TLT Enterprise, D'Sunlit Sdn. Bhd., Interhouse Company, dan Brunei Press Sdn. Bhd.
Wakil daripada tiga penaja tersebut iaitu Pengurus Akademi UNN, Regina Goh; Jurutera Kanan Perlindungan Alam Sekitar Hengyi Industries Sdn Bhd, Haji Sofi Hasni bin Haji Sharbini dan Pengurus Pemasaran di BYD | Denza, Maju Motors Sdn. Bhd., Jerrell Chan turut hadir untuk berucap pada Sidang Media bagi pihak syarikat masing-masing.
Turut hadir sebagai ahli panel dalam Sidang Media tersebut ialah Pengetua Eksekutif ISB, Dominic Morley; Penganjur ISB BGIC, David Castillo Glantz serta Setiausaha Agung ISB BGIC, Amy Domorog, Jeff Louis dan Kaiser Calabazaron bersama-sama dengan Setiausaha Agung ISB BGIC, Aaryan Hadzrin dan Amal Fadillah yang bertindak sebagai pengacara majlis.
Mengulas mengenai dengan tema ISB BGIC, SDG 7: Tenaga Mampu Milik dan Bersih: Bagaimanakah kerjasama antarabangsa dapat membantu mencapai SDG 7 dengan lebih berkesan? Dominic Morley berkata, di ISB mereka mempersiapkan para pelajar untuk kehidupan, bukan sekadar untuk peperiksaan. Persidangan yang dikendalikan pelajar ini memberi mereka tanggungjawab sebenar seperti merancang, berucap, dan berinteraksi dengan pelajar dari sekolah lain. Pengalaman ini membina keyakinan, berdikari dan kemahiran praktikal yang tidak dapat diperoleh sepenuhnya di dalam kelas.
“Walaupun pelajar ISB mendapat banyak manfaat, persidangan ini juga memainkan peranan penting dalam menyokong pelajar dari sekolah-sekolah Brunei. Ia memberi mereka platform untuk berkongsi idea, bekerjasama di luar komuniti sekolah sendiri, serta membina keyakinan, kemahiran komunikasi dan kepimpinan bersama rakan sebaya dari seluruh negara.
“Penghimpunan lebih 20 buah sekolah setiap tahun mencerminkan identiti kami sebagai sebuah sekolah: cemerlang dari segi akademik, inklusif dan berpandangan luas. Ia menunjukkan kepada para pelajar dan semua peserta bahawa idea mereka dihargai dan mereka mempunyai suara yang bermakna dalam perbincangan yang lebih luas,"tambahnya.
Berikutan dengan Sidang Media berkenaan, ISB BGIC Ke-21 akan berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas bermula esok hingga 13 April yang didahului dengan majlis pembukaan sebelum diikuti dengan sesi pembentangan ucaptama, perbincangan jawatankuasa dan perhimpunan agung.
Para delegasi telah berusaha dengan penuh tekun untuk menyelidik topik masing-masing dan menyiapkan ucapan bagi persidangan itu. Para delegasi akan berbahas dan memutuskan resolusi berkaitan dengan pendidikan berkualiti dengan topik-topik yang menangani halangan kepada pendidikan berkualiti, akses yang adil dan saksama kepada pendidikan, kesedaran alam sekitar dan amalan hijau serta pengintegrasian literasi digital ke dalam kurikulum sekolah.
ISB BGIC merupakan persidangan tahunan yang diterajui oleh pelajar yang berbentuk model Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di mana para peserta mewakili negara-negara untuk membentangkan pelbagai pandang mengenai isu-isu semasa dunia sebenar.
Inisiatif itu bermatlamat untuk membangunkan kefahaman warga global para pelajar dan kemahiran kritikal dalam penyelidikan, pertuturan awam dan rundingan.