Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Hernie Suliana Haji Othman
SUNGAI TILONG, Jumaat, 10 April. – Kedutaan Jepun di Negara Brunei (NBD) hari ini meraikan 35 individu yang berjaya lulus dalam Ujian Kemahiran Bahasa Jepun (Japanese Language Proficiency Test - JLPT) dalam pelbagai peringkat bahasa.
Majlis Penyampaian Sijil JLPT 2025 itu berlangsung di Kediaman Rasmi Duta Besar Jepun di NBD, Kampung Sungai Tilong, di sini.
Semasa majlis tersebut, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke NBD, Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka menyampaikan sijil-sijil kepada para calon yang berjaya serta mengucapkan tahniah atas pencapaian mereka.
Tuan Yang terutama juga menggalakkan mereka untuk terus mendalami bahasa dan budaya Jepun dengan lebih lanjut.
Seramai 73 orang telah menduduki JLPT 2025 merangkumi pelbagai tahap bahasa, dari N1 hingga N5. Daripada jumlah tersebut, seramai 35 orang telah lulus, iaitu lima orang bagi tahap N2, seorang bagi N3, 11 orang bagi N4 dan 18 orang bagi N5.
JLPT ditawarkan oleh Japan Foundation sejak tahun 1984 sebagai satu kaedah yang boleh dipercayai untuk menilai dan memperakui tahap kecekapan penutur bukan asli bahasa Jepun (non-native Japanese speakers).
Di NBD, JLPT mula diperkenalkan pada tahun 2008 dan sejak itu ia diadakan pada setiap Disember. Sementara itu, JLPT 2026 akan diadakan pada Ahad, 6 Disember 2026 di mana pendaftaran akan dibukakan bermula Ogos hingga September 2026 nanti.
Salah seorang calon yang berjaya memperoleh tahap N5 pada ujian tersebut, Awang Mohammad Danial Syahmi Faiq bin Shaiful mengongsikan bahawa permulaan beliau minat mempelajari bahasa Jepun secara sendiri dan kemudiannya mengasah kemahiran bertutur dengan rakan-rakan berbangsa Jepun selain mengikuti Kursus Bahasa Jepun.
Perancangan masa hadapan beliau ingin meningkatkan lagi tahap penguasaan bahasa Jepun ke peringkat lebih tinggi agar dapat dimanfaatkan pada masa akan datang.
Menurutnya, untuk menguasai bahasa Jepun, beliau cuba belajar memahami perkataan-perkataan baharu dan seterusnya cuba membentuk ayat serta meningkatkan kemahiran kosa kata.
Turut hadir pada majlis tersebut, perwakilan asing ke NBD, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr. Chin Wei Keh, Guru-guru Bahasa Jepun dari Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat (L3C); Universiti Brunei Darussalam dan sekolah-sekolah menengah serta Ahli-ahli Eksekutif Persatuan Alumni Jepun Brunei (BAJA).