Sambutan Hari Raya eratkan hubungan silaturahim



Siaran Akhbar dan Foto: Baiduri Bank





JERUDONG, Jumaat, 10 April. – Bagi menghargai sokongan pelanggan, rakan perniagaan dan pemegang saham, Bank Baiduri hari ini telah mengadakan majlis tahunan Baiduri Silaturahim sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Indera Samudra, The Empire Brunei.


Berangkat pada majlis tersebut ialah Yang Amat Mulia Pengiran Muda Dr. Abdul Fattaah ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Pengerusi Baiduri Bank.


Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.


Acara ini bertujuan untuk menghimpunkan para tetamu bagi mempererat semula hubungan dalam semangat silaturahim. Ia menampilkan reruai kaligrafi yang popular di mana para tetamu boleh membawa pulang cenderahati istimewa yang diperibadikan dalam bentuk kenang-kenangan kaligrafi Islam.


Ketua Pegawai Eksekutif Baiduri Bank, Ti Eng Hui, berkata, “Baiduri Silaturahim merupakan satu acara yang bermakna bagi kami untuk berkumpul dan meraikan hubungan kukuh yang telah kami bina selama ini.


“Pelanggan adalah teras kepada apa yang kami lakukan dan kepercayaan serta kesetiaan mereka yang berterusan telah menjadi asas kepada setiap pencapaian yang kami raih, daripada memperluaskan capaian melangkaui sempadan, memperkasakan individu melalui kesejahteraan kewangan, hingga memajukan komitmen kami terhadap kelestarian".


Baiduri Silaturahim merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Bank Baiduri untuk menghormati dan mengeratkan hubungan dengan mereka yang telah menyumbang kepada perjalanan bank itu.


Sejajar dengan nilai terasnya iaitu memperkaya, memperkasakan dan melibatkan komuniti, acara tersebut mencerminkan komitmen bank berkenaan untuk meraikan kejayaan bersama dalam cara yang bermakna.

Close