Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Ihsan Brunei LNG Sendirian Berhad
BELAIT, Khamis, 9 April. - Dalam memupuk semangat perpaduan dan hubungan budaya dalam kalangan komuniti, Brunei LNG Sendirian Berhad (Brunei LNG) petang tadi meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan sambutan tahunan 'One BLNG and Community Raya 2026' yang berlangsung di Kelab Rekreasi Liang Lumut, di sini.
Hadir pada acara berkenaan ialah ketua-ketua bahagian dan kakitangan Brunei LNG, rakan niaga, komuniti Tutong dan Mukim Lumut Liang, serta para pemimpin komuniti dan pihak berkepentingan.
Dengan tema tahun ini, 'Syukur Syawal Silaturahim', mencerminkan komitmen Brunei LNG terhadap rasa syukur, pembaharuan dan pengukuhan hubungan dalam kalangan tenaga kerja serta komuniti yang lebih luas.
Sambutan One BLNG & Community Raya berkenaan juga menonjolkan tradisi berterusan dalam satu acara serta menekankan semangat perpaduan yang menghimpunkan kakitangan Brunei LNG dan masyarakat untuk meraikan Hari Raya bersama-sama.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Niels Dijksman dalam ucapannya menekankan kepentingan kesyukuran, kerjasama dan kepercayaan.
Jelasnya lagi, syukur mengingatkan kita untuk berterima kasih atas apa yang kita miliki, dan kepada mereka yang menjadikan Brunei LNG seperti hari ini.
"Syawal menandakan detik kegembiraan dan permulaan baharu. Dan Silaturahim mencerminkan kekuatan hubungan kita, kepercayaan, rasa hormat dan ikatan yang menyatukan kita," ujarnya.
Sambutan berkenaan turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik, termasuk zon aktiviti kanak-kanak, 'photowall' bertema perayaan, aktiviti pentas, serta kuiz raya dalam menyediakan pelbagai hiburan untuk semua peringkat umur.
Acara One BLNG & Community Raya berkenaan berfungsi untuk mengukuhkan lagi komitmen Brunei LNG dalam mempertingkatkan hubungan yang kukuh dan positif dengan kakitangan, pihak berkepentingan dan masyarakat, serta menegaskan komitmen berterusan organisasi terhadap tanggungjawab sosial.