Menyokong kesejahteraan, penyertaan aktif warga emas



Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Hernie Suliana Haji Othman






TUTONG, Khamis, 9 April. - Negara Brunei Darussalam (NBD) sedang mengalami fasa perubahan penduduk yang sangat ketara dan akan menjadi sebuah negara yang tua dalam masa 13 tahun sahaja lagi, dengan lebih daripada 14 peratus penduduk negara ini akan terdiri daripada warga emas.


Salah satu langkah dalam memastikan negara ini bersedia menghadapi isu penduduk berkenaan adalah dengan melaksanakan inisiatif komuniti mesra usia.


Inisiatif komuniti mesra usia merupakan salah satu tindakan berasaskan bukti dalam menyokong penuaan sihat dengan mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi semua peringkat umur terutamanya warga emas, agar boleh hidup dengan baik, berupaya untuk mengambil bahagian dalam kehidupan bermasyarakat dan mengakses perkhidmatan yang memenuhi keperluan inisiatif komuniti mesra usia merupakan salah satu pendekatan yang diperkenalkan oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan telah dilaksanakan di 57 buah negara dan 1,739 buah bandar atau pekan di seluruh dunia.


Sehubungan dengan itu, Daerah Tutong telah diiktiraf oleh pihak WHO sebagai sebuah daerah yang sesuai bagi melaksanakan inisiatif komuniti mesra usia dan dalam pada itu, Jabatan Daerah Tutong (JDT) juga telah menjadi ahli WHO Global Network of Age Friendly Cities and Communities pada Mac 2026.


Daerah Tutong secara aktif telah komited untuk menjadi sebuah daerah yang lebih mesra warga emas dengan memperkukuh dasar, program dan perkhidmatan dalam menyokong kesejahteraan dan penyertaan aktif warga emas.


Bagi menjayakan insiatif berkenaan, pihak Kementerian Kesihatan melalui Pusat Promosi Kesihatan (PPK) dan JDT dengan kerjasama WHO telah menjalankan sesi konsultasi komuniti mesra usia bersama agensi dan pihak berkepentingan lain dan Daerah Tutong yang berlangsung pagi tadi di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong, di sini.


Penolong Pegawai Daerah Tutong, Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad dalam ucapan alu-aluannya nenyatakan, sesi konsultasi berkenaan adalah bermanfaat sebagai plaform untuk berkongsi pandangan, cadangan dan pengalaman.


Jelasnya lagi, usaha untuk menjadikan Daerah Tutong sebagai daerah mesra warga emas tidak boleh digalas oleh satu pihak sahaja, malah ia memerlukan pendekatan Whole of Government dan Whole of Society, dengan semua pihak memainkan peranan masing-masing.


"Saya amat mengalu-alukan sumbangan idea daripada pihak agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan, pemimpin masyarakat serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam memperkasa inisiatif ini.


"Fokus kita bukan sahaja kepada aspek fizikal seperti infrastruktur, tetapi juga kepada aspek sosial, kesihatan, penyertaan ekonomi, dan kesejahteraan mental warga emas," ujarnya.


Acara diteruskan dengan taklimat ringkas 'Age Friendly Communities' yang disampaikan oleh Pegawai Kesihatan Kanan, PPK, Dayang Siti Munawwarah binti Awang Tarif.


Objektif sesi konsultasi adalah untuk memahami dengan lebih lanjut inisiatif komuniti mesra usia di Daerah Tutong dan seterusnya mengenal pasti tindakan dan aktiviti yang bersesuaian bagi merangka pelan tindakan yang bersesuaian.


Inisiatif berkenaan selaras dengan Pelan Tindakan Kebangsaan bagi warga emas yang akan datang dan komitmen kebangsaan yang lebih luas terhadap kualiti, maruah, dan penuaan sihat untuk semua.


Sesi konsultasi berkenaan dihadiri oleh agensi kerajaan, sektor swasta, penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung, ahli warga emas dan pihak berkepentingan dari Daerah Tutong.


Dengan adanya sesi konsultasi komuniti mesra usia berkenaan, usaha dan cadangan daripada pelbagai pihak akan dapat disejajarkan dengan keutamaan negara mengenai penuaan sihat, rangkuman sosial dan daya tahan komuniti dalam membantu meningkatkan kualiti hidup penduduk warga emas di Daerah Tutong khususnya dan NBD dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.

Close