Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
JERUDONG, Selasa, 7 April. - Dalam memupuk semangat dan kesedaran mengenai pentingnya memelihara alam sekitar seramai 200 orang menyertai Kempen Kebersihan Kawasan Persekitaran Pantai Jerudong anjuran Jabatan Daerah Brunei dan Muara.
Dalam temu bual bersama Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim selaku tetamu kehormat berkata kempen kebersihan ini telah dilaksanakan pada awal Februari lepas.
Menurutnya, para penjaja pada masa ini telah beroperasi di tepi jalan dan telah dipindahkan buat sementara di kawasan 'parking' Pasar Jerudong dalam kawasan gazet Jabatan Daerah Brunei dan Muara.
“Gerai yang diuruskan secara rasmi oleh Majlis Perundingan Kampung Jerudong dengan sokongan Jabatan Daerah Brunei dan Muara. Respons daripada orang ramai yang hadir dan dari media sosial juga meluahkan kepuasan hati dengan susunan yang lebih kemas dan selamat," jelasnya.
Pada hari ini, ujarnya, Jabatan Daerah menganjurkan Kempen Kebersihan besar-besaran di gerai dan pantai untuk memastikan kekal terjaga.
Kongsinya lagi, pada minggu lepas ada satu jentera berat telah membersihkan semak yang tebal agar memberikan ruang bot yang baharu yang akan digunakan nanti yang akan diuruskan oleh MPK Jerudong.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Timbalan Pengerusi MPK Jerudong 'B' dan seterusnya taklimat ringkas mengenai kempen tersebut disampaikan oleh Pemangku Ketua Kampung Jerudong 'A', Muhammad Nazmi Fa'iz bin Haji Abu Bakar.
Turut menyertai dalam kempen tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat; pegawai dan kakitangan dari Unit Estet, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Jabatan Daerah Brunei dan Muara; Jabatan Perancang Bandar dan Desa; pasukan beruniform terdiri daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Pasukan Bomba dan Penyelamat serta Pemangku Penghulu Mukim Sengkurong dan ketua-ketua kampung di bawah Mukim Sengkurong bersama Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Sengkurong.