Semarakkan kemeriahan Sambutan Hari Raya bersama mualaf




Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama 






BELAIT, Selasa, 7 April. - Hari Raya Aidilfitri disambut sebagai hari kemenangan bagi umat Islam setelah sebulan menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan.


Dalam usaha mempererat ukhuwah serta menyemarakkan syiar Islam, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Pengembangan Da'wah (Da'wah Khas) dan Cawangan Da'wah Daerah Belait telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama penghuni Rumah Panjang Kampung Teraja serta penduduk kampung sekitarnya yang terdiri daripada saudara-saudara baharu (mualaf) dan masyarakat bukan Islam, baru-baru ini.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Muhammad Faiq bin Haji Rani.


Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah@Lim Swee Ann, Ketua Kampung Bukit Sawat dan Pemangku Pengarah PDI, Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman selaku Ketua Rombongan dari PDI, KHEU.


Penganjuran majlis ini bertujuan untuk menyemarakkan kemeriahan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama mualaf, di samping memperkenalkan keindahan dan nilai-nilai murni perayaan Islam kepada masyarakat bukan Islam.


Majlis ini juga berperanan sebagai platform untuk mempereratkan lagi hubungan silaturahim antara penghuni Rumah Panjang Kampung Teraja dan penduduk kawasan sekitarnya, sama ada masyarakat Islam, mualaf mahupun bukan Islam dengan para pegawai dan kakitangan PDI.


Selain sesi ramah mesra, atur cara majlis juga dimuatkan dengan penyampaian hamper dan sagu hati kepada saudara-saudara baru dan masyarakat bukan Islam di kawasan berkenaan.

Close