618 terima Sijil Taraf Kerakyatan NBD




Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman





JERUDONG, Selasa, 7 April. - Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) petang tadi mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Taraf Kerakyatan Kali Ke-44, bertempat di Dewan Persidangan BRIDEX, di sini.


Pada kali ini, seramai 618 penerima Sijil Taraf Kerakyatan telah mendapat limpah kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian Sijil Taraf Kerakyatan kepada para penerima, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.


Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dalam ucapannya menjelaskan, majlis berkenaan merupakan satu detik yang amat bermakna dan bersejarah, setelah permohonan kesemua Sijil Taraf Kerakyatan melalui proses yang teliti, telus berlandaskan peruntukan undang-undang serta dengan limpah kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah memperkenankan permohonan berkenaan untuk menjadi rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia sama ada melalui penuangan atau pendaftaran di bawah Akta Taraf Kebangsaan Brunei, Penggal 15.


"Alhamdulillah, tuan-tuan dan puan-puan kini merupakan sebahagian daripada rakyat Negara Brunei Darussalam (NBD) yang sentiasa berpegang teguh kepada falsafah negara Melayu Islam Beraja. Falsafah ini menjunjung tinggi nilai keamanan, kestabilan dan keharmonian sebagai asas kekuatan nasional.


"Dalam usaha mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara, tanggungjawab ini tidak terletak semata-mata di bahu kerajaan, malah memerlukan penglibatan seluruh negara dan penduduk melalui pendekatan Whole of Nation, di mana setiap individu memainkan peranan sebagai sebahagian daripada ekosistem keselamatan dan ketahanan negara," ujar Yang Berhormat lagi.


Jelas Yang Berhormat lagi, sejak 2022 hingga Mac 2026, seramai 7,477 orang telah dikurniakan taraf kerakyatan NBD, manakala dalam tempoh 2023 hingga Mac 2026, seramai 2,687 orang telah diluluskan untuk menjadi Penduduk Tetap NBD.


Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, KHEDN; ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan KHEDN serta pegawai-pegawai dan kakitangan JIPK.


Para penerima terdiri daripada mereka yang memohon taraf kerakyatan NBD di bawah Akta Taraf Kebangsaan Brunei, Penggal 15, iaitu di bawah Bab 5(1) dan 8(1) dan telah lulus dalam ujian Bahasa Melayu secara bertulis dan secara lisan, di bawah Bab 6(1), iaitu terdiri daripada anak-anak kepada ibu warganegara Brunei, anak-anak kepada ayah warganegara Brunei dan anak-anak angkat kepada ibu bapa angkat warganegara Brunei dan juga di bawah Bab 5(6) terdiri daripada isteri-isteri kepada suami warganegara Brunei.

Close