Sambutan Hari Raya, majlis penghargaan atas sumbangan warga kerja




Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said






BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 7 April. - Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman menyatakan bahawa harta wakaf yang terkumpul boleh ditarmiahkan atau dikembangkan untuk kepentingan ekonomi, masyarakat yang mampan bahkan juga kegunaan bagi kebajikan umat.


Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama seterusnya menjelaskan, Majlis Ugama Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengendalikan beberapa perkara yang tidak memberatkan fiskal dan wakaf zakat yang dikumpulkan itu dipergunakan dengan sebaiknya dan berkesan serta dilaksanakan secara sistematik dan profesional.


Berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Penghargaan Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam (BTHMUI) serta anak Syarikat Stesen Minyak Badan Tanmiah yang berlangsung di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Yang Berhormat menambah, adanya pentadbiran baharu di Badan Tanmiah itu diharap akan dapat memberikan nafas baharu dan menerajui ke arah yang lebih bersistematik pada masa akan datang nanti.


Terdahulu, Yang Berhormat menyatakan, apabila zakat terkumpul dan tidak habis diagihkan maka dari segi hukum wajib diagihkan dan dicari asnaf yang berhak menerimanya. Justeru, Baitulmal merupakan pihak yang ditetapkan dari segi sistem kewangan Islam yang dijalankan sejak dari dulu dalam mengurus hal ehwal harta yang terkumpul dalam sistem pentadbiran Islam.


Sementara itu, Pengarah Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam (BTHMUI), Awang Mohammad Hamita bin Haji Md Taib menekankan kepentingan memperkukuhkan nilai amanah, kebersamaan dan kecemerlangan dalam organisasi. Majlis ini juga mencerminkan penghargaan terhadap sumbangan serta dedikasi warga kerja dalam memajukan BTHMUI secara berterusan.


InsyaaAllah menjelang 5 Julai 2026 nanti, jelas Awang Mohammad Hamita, akan genaplah 32 tahun penubuhan BTHMUI sepertimana yang diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi melaksanakan rancangan pelaburan, bagi mencapai hasrat tersebut pengalaman dan nasihat daripada majlis, lembaga pengarah dan juga kebersamaan padu dari seluruh pegawai dan kakitangan Badan Tanmiah bagi mengembangkan kesemua perancangan amat diperlukan.

 

Menurutnya, sepanjang tempoh enam bulan memikul tanggungjawab yang diamanahkan untuk memajukan lagi kepelbagaian aset dan penambahbaikan kelancaran proses dalaman Badan Tanmiah, beliau akui ia adalah tugas yang memerlukan komitmen sepenuh masa yang tinggi bagi memikirkan strategi dan tatacara yang berkesan dan dapat dijalankan bagi tempoh masa yang panjang.


Sepanjang tempoh perjalanan tersebut, tambahnya, fokus utama pelaburan tetap diutamakan dan terus konsisten sehingga ke hari ini.


"Jika dilihat daripada hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam lantikan Ahli Lembaga Pengarah Sesi 2025-2028 di mana Kebawah DYMM bertitah bagi pertumbuhan harta Baitulmal yang dilaburkan hendaklah melibatkan usaha-usaha mendukung pengusahaan tempatan dalam menyumbang kepada pertumbuhan negara.


"Dengan izin Allah, peramba / kaola / saya melihat ini adalah strategi yang inklusif selari dengan dasar negara untuk mencapai Wawasan Brunei 2035 dengan fokus bagi Badan Tanmiah melabur dana kepada projek-projek yang boleh dikembangmajukan dan meningkatkan aset di bawah pengurusan untuk jangka masa panjang," jelasnya.


Ini tambahnya, juga semangat yang dipamerkan pada majlis hari ini, di mana kesemua meja dikepalai oleh tetamu-tetamu kehormat dan khas daripada Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua, Lembaga Pengarah dan Panel Penasihat Pelaburan adalah disertai oleh pegawai dan kakitangan Badan Tanmiah jua.


Suasana kebersamaan ini katanya lagi, bukan sahaja memberi peluang beramah mesra dalam suasana Aidilfitri bersama pihak pengurusan tertinggi majlis, lembaga pengarah & panel penasihat pelaburan tetapi mempamerkan komitmen kerja berpasukan dan pengiktirafan kepada sumbangan warga kerja BTHMUI dulu, sekarang dan akan datang.


"Kepelbagaian sumber pendapatan mesti diutamakan sebagaimana hasrat Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam lima sektor khusus daripada hanya berharap kepada sewa pendapatan hartanah kepada bidang industri baru bagi Badan Tanmiah dan kita sudah mula membuat langkah awal menerokai industri halal bagi tahun ini," ujarnya.


Dalam majlis berkenaan, Yang Berhormat Menteri turut menyampaikan cenderahati kenangan kepada mantan Ahli Lembaga Pengarah BTHMUI serta sijil penghargaan kepada pegawai dan kakitangan yang telah berkhidmat selama 30, 25, 20, 15 dan 10 tahun sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka.


Turut hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, selaku Naib Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Brunei dan Pengerusi Lembaga Pengarah BTHMUI, Ahli-ahli Lembaga Pengarah, Ahli-ahli Panel Penasihat Pelaburan serta pegawai dan kakitangan.

 

Menjelang Ulang Tahun Ke-32 Penubuhan BTHMUI pada 5 Julai 2026, organisasi ini telah mencatat pelbagai pencapaian hasil kerjasama erat antara kepimpinan, lembaga pengarah dan seluruh warga kerja. Usaha berterusan dilaksanakan dalam memperkukuh strategi pelaburan, meningkatkan kecekapan operasi serta mempelbagaikan sumber pendapatan termasuk dalam industri halal. Pendekatan ini selaras dengan hasrat negara dalam menyokong pembangunan ekonomi dan aspirasi Wawasan Brunei 2035, di samping memastikan pertumbuhan aset yang mampan dan berdaya tahan.

Close