Memperkukuh kefahaman, penghayatan pelajar terhadap MIB




Siaran Akhbar dan Foto : Maktab Duli Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah






BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 6 April. - Maktab Duli Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (MDPMAMB) mengadakan Majlis Sambutan Hari Melayu Islam Beraja (MIB) 2026, bertempat di Auditorium maktab pada hari ini.


Majlis berkenaan bertujuan untuk memperkukuh kefahaman dan penghayatan para pelajar terhadap falsafah MIB sebagai teras Negara Brunei Darussalam (NBD).


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong.


Turut hadir, Pengetua MDPMAMB, Dayangku Hajah Nooramaliatifah binti Pengiran Haji Ahmad, para pensyarah serta pelajar maktab.


Majlis berkenaan juga diserikan dengan kehadiran pensyarah dan pelajar jemputan daripada beberapa buah pusat tingkatan enam di seluruh negara.


Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan dan Lagu Rasmi maktab, diikuti dengan bacaan doa oleh Penolong Guru Kanan Co-Curricular Activities (CCA), Awang Haji Muhammad Shafiee bin Haji Japar. diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Dayang Norliham binti Haji Tuah.


Antara pengisian utama majlis termasuk persembahan tarian tradisional Brunei serta Kuiz Persahabatan MIB yang melibatkan penyertaan pelajar Pra-U2 dari seluruh negara.


Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil dan hadiah kepada para pelajar cemerlang bagi Kategori Blok-blok MIB 2025, Kuiz Persahabatan MIB serta Projek Berkumpulan Pelajar Terbaik.


Penganjuran majlis berkenaan mencerminkan komitmen berterusan pihak maktab dalam meningkatkan kesedaran terhadap identiti negara, memperkukuh nilai-nilai agama dan budaya, serta memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan pelajar.


Selain itu, ia turut bertujuan melahirkan pelajar yang holistik, berakhlak mulia, berwawasan dan menghargai warisan bangsa dan negara.

Close