Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 6 April. - ASEAN berdepan dengan risiko bencana yang semakin kompleks dan kian meningkat, yang diburukkan lagi oleh perubahan iklim.
Kejadian-kejadian mutakhir telah mengingatkan kita bahawa ancaman kini menjadi lebih serius, sukar diramal, dan saling berkait.
Dalam persekitaran ini, keupayaan untuk menukarkan maklumat cuaca dan iklim kepada keputusan yang tepat pada masanya serta boleh diambil tindakan bukan lagi satu pilihan, malah satu keperluan.
Inilah kunci untuk melindungi nyawa, memelihara sumber rezeki, dan membina daya tahan dalam kalangan komuniti kita.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut, selaku tetamu kehormat pada Majlis Pembukaan ASEAN Cross-Sectoral Workshop on Enhancing Weather and Climate Information for Disaster Management yang berlangsung di The Centrepoint Hotel, Gadong.
Bengkel ini tambahnya, menghimpunkan dua sektor penting dalam pengurusan risiko bencana, iaitu Organisasi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMO) dan Perkhidmatan Hidrometeorologi Kebangsaan.
Jelasnya lagi, ia menyediakan platform yang amat bernilai untuk memperkukuh kerjasama antara pihak yang menghasilkan data saintifik dan pihak yang mengaplikasikannya di lapangan.
“Di Negara Brunei Darussalam, kami mengiktiraf kepentingan penyelarasan rapat antara pihak berkuasa pengurusan bencana, perkhidmatan meteorologi, dan institusi berkaitan iklim. Kami menantikan peluang untuk berkongsi pengalaman serta mempelajari amalan yang pelbagai daripada negara-negara anggota ASEAN yang lain," ujarnya lagi.
Dalam ucapannya, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama serantau serta mengintegrasikan maklumat berasaskan sains dalam usaha pengurangan risiko bencana.
Perkara ini tambahnya, adalah selaras dengan komitmen Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam mempertingkatkan daya tahan dan pembangunan mampan sebagaimana digariskan dalam kerangka dasar kebangsaan serta mekanisme serantau seperti AADMER (ASEAN Agreement on Disaster Management and Emergency Response).
ASEAN Cross-Sectoral Workshop on Enhancing Weather and Climate Information for Disaster Management dan The 6th AHA Centre Information Management Network (AIM-NET) dikendalikan bersama oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan ASEAN coordinating centre for Humanitarian Assistance in disaster management (AHA Centre) berlangsung selama empat hari berturut-turut di NBD selaku tuan rumah, bermula hari ini hingga 9 April 2026.
Bengkel ini menghimpunkan wakil-wakil dari Negara-negara Anggota ASEAN, badan sektoral ASEAN yang berkaitan serta rakan serantau bagi memperkukuh kerjasama rentas sektor antara komuniti pengurusan bencana dan meteorologi.
Ia bertujuan untuk meningkatkan penggunaan maklumat cuaca dan iklim dalam menyokong kesiapsiagaan bencana, sistem amaran awal serta pembuatan keputusan berasaskan risiko ('risk informed decision-making') di rantau ini.
Penganjuran acara serantau ini mencerminkan keyakinan ASEAN terhadap peranan aktif NBD dalam memperkukuh kerjasama serantau serta memajukan agenda daya tahan bencana melalui pendekatan yang inklusif dan bersepadu.
Turut hadir menyertai bengkel tersebut ialah Pengarah Eksekutif Pusat AHA, Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke NBD, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Perancis ke NBD, Ketua Pasukan dan Kaunselor (Sosio-Budaya), Misi UK ke ASEAN, Wakil Badan Sektoral dan rakan kongsi ASEAN, Sekretariat ASEAN dan Pasukan Pengurusan Projek Pusat AHA.
