Meningkatkan pengetahuan, kesedaran mengenai penggunaan baja lebih efektif




Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohammad Hasif Matzin






MUKIM BOKOK, Isnin, 6 April. - Jerayawara Pengenalan Inovasi Baja Cecair Nano-Teknologi Pertama Buatan Tempatan diteruskan lagi ke bumi Permata Hijau dengan kerjasama Jabatan Daerah Temburong hari ini.


Hadir pada jerayawara bertempat di Dewan Kemasyarakatan Mukim Bokok di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rataie di sini, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar.


Juga hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, juga Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-piasau, Daerah Temburong, serta para penduduk kampung kawasan sekitarnya.


Pengurus Am Agrodynamics, Awang Muhd. Izan Azwan bin Awang Yahya dalam ucapan alu-aluannya berkata, melalui program berkenaan pihaknya akan mengadakan beberapa pengisian utama seperti pembentangan mengenai produk, demonstrasi ringkas penggunaan baja, serta sesi perbincangan bagi pihak potensi pelaksanaan.


Jelasnya lagi dengan adanya program atau inisiatif pertanian bersama komuniti setempat, pihaknya percaya melalui pendekatan berkenaan bukan sahaja dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai penggunaan baja yang lebih efektif malah dapat membantu meningkatkan hasil pertanian secara mampan.


"Adalah menjadi harapan kami agar program ini dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama di samping memberi ruang kepada kami untuk berkongsi inovasi pertanian tempatan yang berpotensi menyokong pembangunan sektor pertanian di Daerah Temburong.


"Kami juga berharap agar usaha ini dapat menjadi titik pemulaan kepada hubungan jangka panjang yang memberi manfaat kepada semua pihak khususnya dalam memperkukuh ekonomi komiti luar bandar melalui sektor pertanian," ujarnya.


Pada majlis berkenaan juga diselajurkan dengan pelancaran musik video, iaitu 'DynamicsGrow, Bersama Kita Maju!' oleh Pemangku Pegawai Daerah Temburong.


Setelah itu, pengenalan produk Dynamics Grow disampaikan oleh Penyelaras Penjualan dan Pemasaran, Awang Mohammad Safwan bin Puspa Wira, dan seterusnya demonstrasi penggunaan baja cecair daripada Penyelia Ladang, Awang Muhd. Sazrin Addyfaid bin Abdul Aziz; dan Juruteknik Makmal, Dayang Nurkhairah Muti'ah binti Kambrin.


Program jerayawara berkenaan diadakan bertujuan untuk meneroka peluang kerjasama dalam memperkasa aktiviti pertanian komuniti khususnya melibatkan penduduk serta para petani di Daerah Temburong.


Ditubuhkan pada 2022, Syarikat Dynamics Grow adalah khusus dalam pengeluaran baja cecair teknologi nano mesra alam dan matlamat syarikat ialah menjadi peneraju dalam pertanian pintar berketepatan tinggi melalui integrasi teknologi 'Internet of Things' (IoT), dengan sokongan penuh dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.


Produk baja cecair keluaran syarikat berkenaan ialah Terra Nutrio yang berfungsi sebagai menambah baik struktur tanah, seimbangkan nilai pH tanah dan meningkatkan penyerapan MPK dalam tumbuhan dalam masa 24 jam dan juga menstabilkan Nitrogen, meningkatkan kecekapan penggunaan serta menggabungkan Fosfat bagi mengurangkan masalah penguncian nutrien dalam tanah.


Baja cecair Hi-N pula kaya dengan Nitrogen, sesuai untuk tanaman awal dan sayur serta untuk semua jenis tanaman. Ia juga tersedia dalam bentuk Ready-to-Use (RTU).


Manakala baja cecair Hi-P pula kaya dengan Fosforus yang sesuai untuk akar dan untuk semua jenis tanaman serta berfungsi untuk mempercepat perkembangan akar.


Sementara baja cecair Hi-K selain kaya dengan Potassium, ia juga sesuai untuk pohon buah dan pokok bunga serta untuk semua jenis tanaman. Ia juga tersedia dalam bentuk RTU dan pekat.

Close