Siaran Akhbar dan Foto : Brunei Fertilizer Industries Sdn. Bhd.
BALI, Khamis, 2 April. – Negara Brunei Darussalam (NBD) bakal menjadi tuan rumah kepada Ibu Pejabat Southeast Asia Fertilizer Association (SEAFA), susulan pemeteraian deklarasi bersama oleh Brunei Fertilizer Industries Sdn. Bhd. (BFI), PETRONAS Chemicals Group Berhad dan PT Pupuk Indonesia.
Deklarasi tersebut dimeterai sempena Argus Fertilizer Asia Conference 2026 yang diakan di Bali, Indonesia, menandakan langkah strategik dalam memperkukuh kerjasama serantau dalam kalangan pengeluar baja bagi menyokong sekuriti makanan dan pertanian mampan.
Sebagai antara Ahli Pengasas, BFI akan memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju SEAFA sebagai platform kolaboratif industri bagi menggalakkan perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik serta dialog dasar di Asia Tenggara.
Penubuhan SEAFA mencerminkan komitmen bersama untuk meningkatkan produktiviti pertanian, memperkukuh daya tahan rantaian bekalan serta menyokong peralihan ke arah pengeluaran baja yang lebih mampan dan rendah karbon di rantau ASEAN.
Ketua Pegawai Eksekutif BFI, Dr. Harri Kiiski berkata bahawa NBD berbangga menjadi tuan rumah kepada SEAFA yang menyediakan platform kolaboratif bagi peneraju industri untuk memperkukuh kerjasama serantau dan menyumbang kepada pembangunan pertanian mampan.
Menurut beliau, cabaran dalam mengadaptasi amalan mampan memerlukan pendekatan kolektif serta satu suara industri yang bersatu bagi menyokong penggubal dasar ASEAN dalam mengurangkan jejak karbon rantaian bekalan industri baja.
BFI, sebagai antara loji baja satu talian terbesar di Asia Tenggara, terus menyokong bekalan baja serantau serta usaha memperkukuh sistem makanan dan kelestarian industri.