Memperkasa, memperkukuh penggunaan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar





Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman





BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 2 April. - Dalam usaha memperkasa dan memperkukuh penggunaan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar sekolah Arab, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS) pagi tadi mengadakan Program Hayya Ilal 'Arabiyyah (Mari Berbahasa Arab) dengan tema 'Kegembiraan Hari Raya Dengan Bahasa Arab' yang diadakan di sekolah berkenaan, di sini.


Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Pemangku Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik), Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Profesor Dr. Siti Sara binti Haji Ahmad.


Atur cara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan oleh tenaga pengajar sekolah berkenaan, Awang Ali Moustafa Ali Saghir serta ucapan daripada Pemangku Pengetua SUAMPRIPAHS, Dayangku Aidi Noorintan binti Pengiran Haji Md. Zinin.


Acara kemudiannya diteruskan dengan persembahan daripada para pelajar, tayangan video serta sesi kunjungan ke reruai Rumah Terbuka Mata Pelajaran.


Program yang dianjurkan oleh Bahagian Kokurikulum, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama berkenaan antara lain bertujuan bagi mendukung matlamat melahirkan generasi yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.


Selain untuk menggalakkan para pelajar menggunakan Bahasa Arab dalam aktiviti Sambutan Hari Raya, di samping memberi peluang untuk menghayati nilai-nilai murni seperti semangat perpaduan, kegembiraan dan kesyukuran, sekali gus memperkukuh penguasaan Bahasa Arab.

 

Close