Bacaan ayat Al-Quran sempena Hari Keputeraan bermula di Daerah Tutong





Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas





TUTONG, Khamis, 2 April. - Majlis Pelancaran Memulakan Bacaan Ayat-ayat Suci Al-Quran bagi Majlis Khatam Al-Quran 80 Kali Khatam Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK), Penuntut-penuntut Sekolah dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Seluruh Negara sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Tahun 2026 telah diadakan secara serentak petang tadi di keempat-empat buah daerah.


Majlis Khatam Al-Quran 80 Kali Khatam ini diadakan adalah sebagai menzahirkan kesyukuran rakyat dan penduduk negara ini kepada Allah Subhanahu Wata'ala di atas limpah rahmat dan nikmat-Nya jua menjadikan Negara Brunei Darussalam (NBD) di bawah kepimpinan yang bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa berada dalam keadaan aman dan sejahtera, di samping memohon doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga baginda dilanjutkan usia, sihat walafiat serta mendapat taufik dan hidayah serta inayah daripada Allah Subhanahu Wata'ala.


Bagi Daerah Tutong, majlis diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dan hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad.


Turut hadir ialah Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai daerah dan Ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Tahun 2026, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, pemangku-pemangku penghulu mukim, pemangku-pemangku ketua-ketua kampung, Ahli-ahli MPMK serta pegawai-pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan daerah, pegawai-pegawai hal ehwal masjid, ahli-ahli takmir masjid dan anak-anak buah kampung.


Majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah yang diimamkan oleh imam masjid berkenaan, Awang Sahibol Omar bin Haji Yussof. Manakala bacaan Al- Fatihah dan Doa Allah Peliharakan Sultan diketuai oleh Ketua Imam masjid tersebut, Awang Mohammad Waiz bin Tajuddin.


Seterusnya pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran beramai-ramai bermula dari juz pertama oleh peserta-peserta yang terdiri daripada Ahli-ahli MPMK, Penuntut-penuntut Sekolah dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi mengikut Kategori Dewasa Lelaki, Dewasa Wanita, Belia dan Beliawanis (berumur 13 tahun hingga 20 tahun) yang terpilih dan mewakili mukim dan kampung.


Ini termasuk penuntut-penuntut Sekolah Arab dan Skim Tilawah Al-Quran remaja dan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berumur 12 tahun ke bawah yang mewakili sekolah-sekolah Arab, sekolah-sekolah ugama dan Skim Khatam Al-Quran di bawah umur 10 tahun serta penuntut-penuntut sekolah di bawah Kementerian Pendidikan dan institusi-institusi pengajian tinggi.


Close